Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Liek Hou terus mengganas

    KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Jaguh badminton para Malaysia, Cheah Liek Hou sememangnya sukar digugat apabila meraih gelaran ke-13 berturut-turut, kali ini pada kejohanan Badminton Para Antarabangsa Thailand, di Pattaya, semalam.

    Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang beraksi dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) lelaki itu, mengambil masa 36 minit untuk menundukkan seterunya dari Taiwan, Fang Jen-Yu 22-20, 21-15.

    Liek Hou yang juga juara Sukan Para ASEAN ke-11 di Solo, Indonesia baru-baru ini, menyifatkan kejayaan diraihnya di Thailand sangat bermakna menjelang Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

    Pemain dari Kuala Lumpur itu juga memberitahu akan berehat sementara daripada sebarang pertandingan bagi menyiapkan diri untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Tokyo, November nanti.

    “Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang mendukung saya selama ini. Nasib baik ada pasukan sokongan daripada ISN (Institut Sukan Negara) menghantar abang fisio dengan pasukan supaya boleh mengurangkan kesakitan semasa pertandingan.

    “Terima kasih juga kepada penaja yang sering menyokong saya pada setiap pertandingan,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram.

    Dalam pada itu, seorang lagi atlet, Muhammad Ikhwan Ramli, turut memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di Thailand apabila muncul juara kategori perseorangan lelaki WH 1 (kerusi roda) dengan menumpaskan pemain Korea Selatan, Jeong Jaegun 21-23, 21-16, 21-19. – Bernama

    Cheah Liek Hou meraih gelaran ke-13 berturut-turut pada kejohanan Badminton Para Antarabangsa Thailand, di Pattaya, baru-baru ini.- Bernamass
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...