Liga Arab bertemu bincang pelan Israel

KAHERAH, 27 APRIL – Liga Arab berkata hari ini ia akan mengadakan satu mesyuarat maya pada minggu ini untuk membincang cara-cara membantah pelan Israel bertujuan memisahkan sebahagian daripada wilayah Tebing Barat.

Mesyuarat tergempar itu, dijadual diadakan pada Khamis atas permintaan pemimpin Palestin, akan mengumpul bersama menteri-menteri luar Arab menerusi sidang video, dan bukannya mesyuarat fizikal, disebabkan pandemik koronavirus.

Penolong setiausaha Liga Arab, Hossam Zaki berkata menteri-menteri akan ‘membincang dalam mesyuarat maya tentang sokongan politik, perundangan dan kewangan yang akan diberikan kepada pemimpin Palestin ketika menghadapi pelan Israel.”

Mesyuarat diadakan selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pencabar politik Benny Gantz menandatangani satu perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan yang mungkin mempercepat rancangan perdana menteri untuk memisahkan sebahagian daripada Tebing Barat pada bulan-bulan akan datang.

Pelan Israel berkenaan, sementara tertakluk kepada kelulusan, termasuk keperluan mengekalkan ‘kestabilan serantau’ dan mendukung perjanjian perdamaian dengan Jordan, telah menerima kritikan termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah. Ketua Liga Arab Ahmed Ahmed Aboul Gheit pada minggu lalu telah menghantar satu pesanan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengingatkan tentang pelan Israel dan berkata mereka menimbulkan risiko ‘tercetusnya ketegangan di rantau.’ Pada Rabu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata keputusan mengenai pemisahan wilayah Tebing Barat adalah terpulang pada kerajaan perpaduan baharu Israel. – AFP