Liga Bola Keranjang Kebangsaan 5.11 dirasmikan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Pembukaan Liga Bola Keranjang Kebangsaan 5.11 telah berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) di Batu Bersurat kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud sekali gus merasmikan pembukaan liga.

Liga Bola Keranjang Kebangsaan 5.11 adalah hasil kerjasama rapat antara BBA, Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait dan Bola Keranjang Tutong yang akan menampilkan perlawanan kategori lelaki dan wanita.

Enam pasukan akan mengambil bahagian dalam kategori lelaki iaitu Brunei Muara A, Brunei Muara B, Temburong, Tutong, Belait dan Seria manakala empat pasukan akan mengambil bahagian dalam kategori wanita iaitu Brunei dan Muara, Temburong, Tutong dan Belait.

Liga Bola Keranjang Kebangsaan tersebut ditaja oleh Core-Lee Enterprise, pengedar rasmi pakaian 5.11 di Brunei dengan You-C1000 sebagai minuman rasmi sukan.

BBA akan terus memastikan bahawa lebih banyak kejohanan akan dijalankan untuk mengembangkan bakat tempatan dengan harapan dapat mengambil bahagian dalam liga antarabangsa.

Pasukan Tutong selaku juara bertahan memulakan pertahanan gelaran mereka dengan kemenangan 71-39 ke atas Kuala Belait B dalam kategori lelaki.

Zainul Hussin menjaringkan gol untuk pasukan Tutong dengan 16 mata manakala kapten pasukan, Khoo Chin Kai menyumbang 14 mata dan Onn Jen Hao pula berjaya menjaringkan 13 mata.

Pengiran Mohammad Amirrizal bergambar ramai bersama pasukan-pasukan bola keranjang yang ikut serta.