Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga hoki remaja Malaysia ditunda

    KUALA LUMPUR, 15 MAC – Satu demi satu acara sukan terpaksa ditangguh atau dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19, dan terbaharu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penangguhan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2020.

    Saingan liga remaja itu dijadual bermula 25 Mac dan berakhir pada 19 April ini, membabitkan kategori lelaki bagi Divisyen Satu dan Dua itu ditunda sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata langkah itu diambil selepas perbincangan antara KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN), demi keselamatan pemain yang mengambil bahagian.

    “Ia selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April. Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila ia akan diadakan semula namun ia bukan dibatalkan.

    “Secara keseluruhannya hampir 90 peratus persediaan telah dilakukan untuk LHRM 2020 tetapi kami mendapat notis daripada Kementerian Pendidikan bahawa segala aktiviti luar tidak digalakkan untuk pelajar,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. – Bernama

    Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh pada sidang media berhubung penangguhan kejohanan Liga Hoki Remaja Malaysia susulan penularan COVID-19 yang melanda.
 – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda