Liga-M kembali 26 Ogos – MFL

KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020, yang tertangguh sejak Mac lalu akibat penularan wabak COVID-19, akan disambung semula pada 26 Ogos ini dengan beberapa aksi tertunda akan berlangsung 22 Ogos ini.

MFL, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perlawanan tertunda itu melibatkan aksi Liga Super membabitkan perlawanan antara PJ City FC menentang Terengganu FC serta aksi Liga Premier antara UKM FC dan Kelantan.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga-M, yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu, lebih kompetitif dan berkualiti. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata badan pentadbir liga bola sepak tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga-M tersebut adalah terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihanFasa Dua dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai lepas.

“Bagi memastikan kelancaran Liga-M 2020, MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan,” kata Ab Ghani. – Bernama