Liga-M kembali rancak selepas lima bulan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Selepas ‘sepi’ hampir lima bulan tanpa perlawanan susulan penularan pandemik COVID-19, pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang bakal merancakkan semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bersambung 28 Ogos ini.

Kembali dengan format baharu secara separuh liga, aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu adalah satu daripada keseluruhan 84 perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang akan berlangsung dalam tempoh 44 hari sebelum saingan liga musim ini berakhir pada 10 Oktober.

Berbaki tujuh perlawanan perlu diharungi setiap pasukan, JDT berada di landasan tepat untuk terus melakar sejarah tersendiri, memenangi kejuaraan Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut selepas berjaya mempertahankan gelaran itu selama enam musim sejak 2014.

Skuad Harimau Selatan itu kini gah di takhta Liga Super dengan 10 mata, diekori rapat juara Piala Malaysia 2018, Perak, dengan perbezaan dua mata sementara Pahang mengumpul enam mata di kedudukan ketiga.

Defisit dua mata yang dimiliki pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Melaka yang hanya mengumpul tiga mata, merupakan pasukan yang menghuni dua tempat tercorot Liga Super sekali gus berdepan penyingkiran di akhir musim.

Dalam kancah Liga Premier, tumpuan utama terarah kepada persaingan tiga penjuru dalam merebut dua slot automatik ke saingan Liga Super 2021, antara Kelantan United, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang berada dalam kelompok empat pasukan teratas ketika ini.

Terengganu FC II (TFC II) yang berstatus pasukan ‘feeder’ mendahului kedudukan Liga Premier dengan kutipan 12 mata selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat aksi pertama, sementara Kelantan United kedua dengan sembilan mata diikuti Pulau Pinang (lapan mata) dan Kuala Lumpur (lapan mata). – Bernama