DENIM BIRAM NDAW, Senegal – Sebelum Sadio Mane dan Diafra Sakho bertarung untuk keunggulan Liga Perdana, kedua-dua pemain bola sepak ini telah memberi impak atau kesan kepada sebuah kelab Senegal, yang mana semakin dikenali di Afrika Barat dan berada di puncak kejohanan.
Generation Foot bermula sebagai sebuah akademi pada tahun 2000 dan pasukan tersebut telah menjadi juara kebangsaan buat kali pertama baru-baru ini, dan kini dipandang serius oleh kelab-kelab lain di Senegal selepas dimasukkan ke liga elit kebangsaan pada tahun ini.
Kesemua para pemainnya berusia 18 tahun atau kebawah, dan semua mereka ini obses untuk mengikuti jejak langkah wira mereka ke Eropah untuk bermain di antara pemain-pemain terbaik dunia. Seramai 30 orang pemain telah berjaya menjadi pemain profesional setakat ini. Ibrahima Niane, 18, akan pergi ke Eropah selepas menempuh musim yang sangat memberangsangkan di tempat sendiri, menjaringkan 15 gol dalam 15 perlawanan terakhirnya, iaitu jumlah skor yang terbaik bagi mana-mana pemain dalam kejohanan itu.
Mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya, dia akan beralih dari liga musim panas Senegal ke timur Perancis dalam Liga 1 Perancis, FC Metz, yang mempunyai hubungan dengan pasukan Generation Foot pada tahun 2003 yang lalu.
“Matlamat saya adalah untuk bermain di sana di peringkat tertinggi dan membantu keluarga saya,” katanya kepada AFP di lapangan permainan di sekolah gabungan Generation Foot dan padang latihan di Deni Biram Ndaw, sebuah perkampungan pada sekitar satu jam perjalanan dari ibu negara.



Pemain hadapan dari negara Gambia, Ablie Jallow, juga 18 tahun, akan menyertai Niane di Metz, di mana mereka tidak lama lagi akan berlatih bersama bekas pemain pasukan Generation Foot, pemain tengah Ismaila Sarr.
Sarr telah mencipta satu kejutan dan semakin bersinar sejak tiba di Perancis pada Julai 2016, bahkan boleh diambil oleh beberapa buah kelab Inggeris, Perancis dan Jerman yang mana telah menunjukkan minat dalam bakat seni bola sepaknya itu.
Pengurus pasukan Generation Foot, Olivier Perrin, yang tiba di Senegal pada tahun 2013, menjelaskan bahawa dua pemain secara puratanya pasti akan dihantar ke FC Metz setiap tahun, meninggalkan pasukan majoriti yang lain.
“Kami tidak akan menghasilkan 110 pemain profesional dari 110 orang anak muda, tetapi kami juga mempunyai peranan sosial untuk bermain dalam liga Senegal, untuk memperbaiki keadaan mereka,” jelas Perrin.
“Segala-galanya 100 peratus ditaja, mereka tidak perlu membayar sesen pun dan mereka juga menerima pendidikan secara percuma,” katanya, dalam sebuah negara di mana sekitar sepertiga kanak-kanak hanya dapat menyempurnakan pembelajaran mereka di peringkat sekolah menengah, oleh kerana tekanan kewangan yang dihadapi oleh keluarga mereka.
“Tiada bayaran perpindahan dikenakan dan sebaliknya FC Metz membayar kos bulanan akademi mereka,” tambah Perrin.
Walaupun Generation Foot tidak mendedahkan sebarang butir-butir perjanjian FC Metz, ia membenarkan akademi itu untuk berpindah di kawasan kemudahan yang mewah dalam piawaian Senegal, dengan padang dan rumah tumpangan yang sangat baik dan selesa bagi mereka.
“Kami mahu pemain-pemain Generation Foot bersedia dalam apa jua keadaan, sebagai ahli sukan dan juga masyarakat,” kata Perrin.
Pengasas Mady Toure, yang pernah bermain di Perancis pada tahun 1990-an sehingga kecederaan lutut telah mengakhiri kerjaya beliau, telah mempunyai idea bagi Generation Foot setelah memberi kaunseling kepada pemaian-pemain bola sepak Afrika yang menghadapi masalah setelah beliau berhenti untuk bermain.
Satu perjumpaan dengan bekas jurulatih FC Metz, Joel Muller, telah menubuhkan kerjasama antara dua pihak dan masih wujud hingga ke hari ini, yang mempamerkan kepada keupayaan pasukan Perancis. Sadio Mane, kini merupakan pemain Afrika yang paling mahal dalam sejarah, dijual kepada Salzburg pada tahun 2012, iaitu perjanjian perpindahan ketiga terbesar FC Metz.
Komuniti tempatan, kata pengurus perhubungan Toure, Talla Fall, telah terlibat dalam Generation Foot dari awal lagi, dan para pekerja di kawasan itu telah diambil dari kawasan perkampungan tersebut. Projek ini juga membiayai sekolah dan klinik desa Deni Biram Ndaw.
Selepas kejayaan itu, kelab-kelab Perancis lainnya telah semakin berminat dan ulang-alik ke Senegal untul memantau para pemain di sana. Pegawai-pegawai dari Olympique de Marseille dijangka akan melawat Diambars, sebuah akademi di bandar pantai Saly di Senegal. – AFP