Liga Petanque dapat sambutan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Seramai 37 orang peserta termasuk pemain kebangsaan Brunei Darussalam dan pemain dari Limbang dan Bintulu, Sarawak telah menyertai Kejohanan Liga Petanque Kebangsaan yang berlangsung di Gelanggang Petanque Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Petanque Brunei Darussalam itu mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori A bagi lelaki, Kategori B bagi wanita dan Kategori C bagi para pemain peringkat permulaan. Johan bagi Kategori A disandang oleh peserta dari Limbang, Rablee bin Hamid, diikuti oleh Amdillah bin Tamin dan Hamidun bin Haji Hamid masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Manakala bagi Kategori B pula, tempat pertama disandang oleh Julia binti Asa, di tempat kedua disandang oleh Khairul Bariyah dan di tempat ketiga disandang oleh Nurul Suzuna Wedy binti Luon.

Sementara itu, johan dalam Kategori C pula disandang oleh Hamdani bin Neneng Mulyani, diikuti oleh Wedy Ardy Yanto bin Wedy Wellintio di tempat kedua.

Manakala di tempat ketiga bagi kategori tersebut disandang oleh Irene Rosalin binti Wedy Welli.

Pihak penganjur bergambar ramai bersama para pemenang dalam kejohanan tersebut.