Liga Pro Belgium tunda perjumpaan buat kali ketiga

BRUSSELS, 4 MEI – Liga Pro Belgium mengumumkan kelmarin bahawa ia akan menunda buat kali ketiga perjumpaan yang akan memutuskan sama ada musim ini akan ditamatkan disebabkan oleh pandemik koronavirus.

“Lembaga pengarah Liga Pro Belgium hari ini memutuskan untuk menunda Mesyuarat Agung dari 4 Mei hingga 15 Mei,” menurut kenyataan liga.

Lembaga pengarah Liga Pro Belgium mencadangkan musim ini ditamatkan pada 2 April, tetapi ia perlu dipersetujui dalam mesyuarat agung. Perjumpaan pertama dijadualkan diadakan pada 15 April tetapi telah ditunda sehingga 24 April dan kemudian dipindahkan kepada hari Isnin sebelum mereka membuat keputusan untuk menundanya 11 hari lagi. – AFP