Friday, December 6, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Sepak Takraw TAIB diteruskan

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Liga Super Sepak Takraw TAIB (LSST) 2024 diteruskan dengan perlawanan peringkat kumpulan pusingan pertama yang berlangsung di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Tutong hari ini.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong; Penghulu Mukim Telisai, Haji Haslan bin Haji Shahbuddin; Ketua Kampung Keriam, Haji Bahrin bin Haji Bolhassan; dan Ketua Kampung Pekan Tutong, Awang Zambri bin Haji Ibrahim.

    Sebanyak 10 perlawanan telah dipertandingkan yang melibatkan pasukan dari Kumpulan A dan Kumpulan B bagi Kategori Terbuka Pasukan.

    Empat pasukan menempah tempat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini yang mana MS ABDB B akan menentang 7 Brothers dan Muara Spurs B akan menentang Sengkurong dalam aksi lapan terakhir.

    Sementara itu, perlawanan dalam Kumpulan C dan Kumpulan D akan berlangsung di Kompleks Sukan Tutong Ahad ini dan di Kompleks Sukan Sungai Kebun pada 17 November.

    Majlis penutup dan penyampaian hadiah akan diadakan pada 24 November di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

    LSST edisi kedua dianjurkan oleh Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS dan Perbadanan TAIB sebagai penaja utama liga.

    Antara aksi pemain yang bertanding dalam liga berkenaan. – GAMBAR OLEH FADHIL YUNUS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda