PARIS, 13 OKT – Liga utama Perancis akan mengambil rehat selama enam minggu sepanjang November dan Disember musim hadapan bagi Piala Dunia 2022 di Qatar, menurut pengumuman yang dibuat oleh liga tersebut, hari ini.
Kempen Ligue 1 2022/23 akan bermula pada hujung minggu 6 Ogos dan akan direhatkan sementara semasa Piala Dunia, dihentikan dari 13 November dan disambung semula pada 28 Disember. Kejohanan tahun hadapan, yang berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember, adalah pertama kali dianjurkan bukan pada bulan Mei, Jun dan Julai disebabkan musim panas melampau di Qatar.
Pemain-pemain dibenarkan oleh kelab masing-masing untuk mewakili pasukan kebangsaan pada 14 November, seminggu sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia.
Musim liga Perancis akan berakhir pada 4 Jun, dua minggu kemudian berbanding tarikh berakhir kempen ketika ini.
Liga tersebut membuat undian pada Jun untuk mengurangkan jumlah kelab di Ligue 1 dari 20 kepada 18 buah pasukan bermula musim 2023-24. – AFP