Ligue 1: PSG tersungkur lagi

NANTES, 18 April – Paris Saint-Germain (PSG) gagal mengesahkan gelaran Ligue 1 buat kali ketiga berturut-turut awal pagi tadi selepas ‘pasukan kedua’, tanpa Kylian Mbappe, mengalami kekalahan kedua dalam tempoh beberapa hari, kecundang 3-2 di Nantes.

Dua jaringan Diego Carlos dan tolakan gol Majeed Waris menghadiahkan kekalahan ketiga skuad kendalian Thomas Tuchel, yang dibelasah 5-1 oleh Lille hujung minggu lalu dan juga seri dengan Strasbourg sebelum itu, meskipun jaringan pembukaan hebat Dani Alves dan gol pemain gantian Metehan Guclu di hujung perlawanan.

Bagaimanapun, PSG, yang juga ketiadaan sejumlah besar pemain utama disebabkan kecederaan dan penggantungan, masih kekal 17 mata di persada liga dengan berbaki enam perlawanan.

Pemimpin Ligue 1 itu akan memenangi gelaran keenam mereka dalam tempoh tujuh tahun Ahad ini sekiranya Lille gagal menang di Toulouse dan mereka menewaskan pasukan bergelut, Monaco.

Tuchel menolak untuk mendedahkan sebab kenapa Mbappe diketepikan dari skuad, yang mana Mbappe sebelum ini menyelar rakan sepasukannya ‘kurang personaliti’ selepas kekalahan Lille, yang mana jurulatih itu menjawab ‘tiada penjelasan’ mengenai keputusannya.

“Ia mudah untuk dianalisis, ia adalah persembahan yang sangat teruk, dan kami selayaknya tewas,” kata Tuchel.

“Kami menguasai permainan di Lille tetapi kali ini tiada permainan langsung selama 90 minit.

“Anda boleh tewas dan melakukan kesilapan, dan kami akan selalu mempertahankan para pemain sekiranya kami merasakan mereka bermain dengan sikap dan kemahuan yang tepat. Tetapi hari ini ia adalah mustahil.” – AFP

Pemain-pemain Nantes meraikan jaringan pasukan ke atas PSG dalam saingan Ligue 1 di Nantes. Kekalahan itu sekali gus menangguhkan lagi keraian gelaran PSG bagi mahkota Ligue 1. – AFP