Lihat pelbagai faktor sebelum beralih ke fasa dua – Muhyiddin

TANGKAK, 22 JUN – Kerajaan akan melihat pelbagai faktor termasuk situasi sebenar COVID-19 dalam negara serta kaedah intervensi sebelum memutuskan negara boleh beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar dan jumlah kes serta proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU), situasi sebenar sentiasa berubah.

“Dia (Pelan Pemulihan Negara) ada kita panggil nilai ambang atau threshold… tetapi kita kena faham keadaan berubah-ubah, sebab itu, kita boleh buat sedikit pelarasan.

“Ini nanti akan diputuskan pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk nilai keadaan,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin di Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir, Bukit Gambir di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Kementerian Kesihatan dan seluruh sistem yang ada, bagi memastikan kaedah intervensi yang boleh dilakukan.

“Misal kata data itu masih tinggi sedikit, kita nak turunkan bawah 4,000 kes. Hari ni 4,743 kes, jadi tak jauh dari sasaran.  Apapun kita nak tengok apa intervensi yang pihak KKM dan semua sistem ada (untuk mengawal), nak tengok keadaan itu tetapi itu sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan masyarakat untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)… untuk pastikan mereka ikut, bukan sahaja anggota masyarakat tetapi juga kilang serta ahli komuniti dan sebagainya,” kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir itu juga menekankan mengenai pentingnya proses vaksinasi dipercepatkan agar keadaan lebih terkawal dan proses penurunan kes positif akan lebih cepat lagi.

“Kita ada beberapa hari lagi sahaja (sebelum 28 Jun). Ya, kalau sekiranya kadar (kes positif) tu boleh turun lagi… bermakna ikut jadual yang kita harapkan, maka kita akan beralih ke fasa kedua… itu keadaannya.

“Jadi disebabkan itu, kita takkan buat pengumuman sekarang. Biasanya kita akan bagi ruang dua tiga hari lagi, sama ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa seterusnya),” kata beliau. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat berseloroh dengan sekumpulan masyarakat Orang Asli yang hadir mendapatkan suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, semalam. – Bernama