Likuoris didakwa boleh sembuhkan COVID-19

ASHGABAT, TURKMENISTAN, 27 DIS – Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdymukhamedov mendakwa semalam bahawa likuoris boleh menyembuh koronavirus, penawar ajaib terbaharu dalam sebuah negara yang masih mencatat kes sifar virus berkenaan.

“Ahli sains dari semua negara sedang mencari penawar, menjalankan pelbagai kajian, dan salah satu daripadanya mungkin akar likuoris,” beritahu pemimpin bekas negara Soviet itu kepada menteri negara.

Tanpa memetik sebarang bukti saintifik, bekas doktor gigi, Berdymukhamedov mendakwa ‘likuoris menghalang koronavirus daripada menular’ malah ‘kepekatan ekstrak yang cair mampu memberikan kesan meneutralkan.

Turkmenistan mempunyai ‘simpanan likuoris yang mencukupi, tambah beliau, mengarahkan akademi sains negara supaya mengkaji kesan kesihatan tumbuhan itu.

Berdymukhamedov telah pun menyarankan penduduk supaya membakar ‘peganum harmala’ liar, sejenis tumbuhan berbau kuat yang dipercayai mempunyai khasiat ubat, untuk memerangi koronavirus, menyebabkan harganya melambung naik.

Sementara pihak berkuasa kesihatan global telah lama menyarankan pemakaian penutup mulut dan hidung, penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan untuk membendung penularan virus, perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk Turkmenistan hanya melaksanakan peraturan tersebut di negara itu pada Julai.

Kerajaan masih menegaskan pemakaian penutup mulut dan hidung sebagai perlindungan terhadap ‘habuk’ dan ‘patogen’ dan bukannya koronavirus. – AFP