PARIS, 19 OKT – Lille meraih kedudukan teratas di Ligue 1 semalam setelah membelasah Lens 4-0 dan Lens terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas dua pemainnya dilayangkan kad merah.
Lens berpeluang untuk berada di kedudukan teratas di liga Perancis untuk pertama kalinya dalam 16 tahun tetapi kelemahan pertahanan mereka terdedah dengan serangan pantas dari Lille yang bergerak dua mata di atas Paris Saint-Germain.
Jaringan daripada Burak Yilmaz meletakkan pasukan tuan rumah di depan di Stadium Stade Metropole di minit ke-11.
Lens bertahan sehingga separuh masa kedua ketika Jonathan Bamba menjaringkan gol kedua Lille sebelum Jonathan Gradit dan pemain gantian Clement Michelin dilayangkan kad merah.
Jonathan Ikone dan Yusuf Yazici menjaringkan gol ketiga dan keempat untuk Lille.
PSG juga menang 4-0 pada perlawanan Jumaat lalu dengan Kylian Mbappe menjaringkan dua gol di Nimes.

Dalam perlawanan berasingan, jurulatih Lyon, Rudi Garcia mengatakan pasukannya telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang setelah kaptennya, Memphis Depay melakukan tiga assist dalam kemenangan 3-2 semalam di Strasbourg untuk menuntut kemenangan pertama mereka sejak Ogos lalu.
Penyerang Belanda, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona semasa musim perpindahan, adalah penyumbang gol kepada penyerang antarabangsa Zimbabwe, Tino Kadewere telah mengulangi prestasi hebat itu dua kali untuk Karl Toko Ekambi pada separuh masa pertama.
“Kemenangan yang layak bagi kami. Pasukan ini memiliki kemampuan untuk bangkit,” kata Garcia.
“Jawapannya ada di lapangan, tiga assist Depay dan tiga gol dalam permainan terbuka.”
Kadewere membuka jaringan selepas 15 minit, menjaringkan gol pertama kali dari hantaran Depay.
Depay kemudian melakukan dua hantaran kepada Toko Ekambi untuk menjadikannya 3-0. – AFP