LILLE, 17 OGOS – Pemain tengah Lille, Renato Sanches menjalani pembedahan lutut dan akan diketepikan selama enam minggu, menurut pengumuman kelab juara Ligue 1 tersebut.
Sanches bergelut dengan masalah lutut beberapa minggu kebelakangan.
Dia bermain sepanjang perlawanan semasa pasukan terikat seri 3-3 dengan Metz dalam pusingan pertama tetapi tidak berada dalam skuad semasa kekalahan 4-0 di tangan Nice Sabtu lalu.
Lille dalam kenyataannya kelmarin memberitahu pemain tersebut akan memulakan rehabilitasi pada minggu ini. Dengan ketiadaan selama enam minggu bermakna dia bakal terlepas dua perlawanan pertama Liga Juara-Juara peringkat kumpulan pada September.
Kecederaan tersebut turut mengurangkan peluang Lille untuk menjual aset paling berharga sebelum jendela perpindahan ditutup pada Ogos.
Sanches dikaitkan dengan beberapa buah kelab, termasuk Liverpool dan Barcelona dan dijangka mendatangkan kos sebanyak 35 juta euro bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan dialami kelabnya.
Lille sudah menjual pemain tengahnya, Boubakary Soumare, yang beraksi 32 kali di Ligue 1 musim lalu, kepada Leicester dengan yuran perpindahan dilaporkan sebanyak 20 juta euro.
Sanches beraksi dalam semua empat perlawanan untuk pasukan kebangsaan daripada musim panas lalu. – AFP