Lille kekal di puncak Ligue 1

PARIS, 4 MAC – Penyerang Kanada, Jonathan David menyumbat dua gol pada lewat perlawanan untuk membantu Lille membenam Marseille 2-0 kelmarin dan kekal dua mata di hadapan Paris Saint-Germain di kedudukan teratas Ligue 1.

Pasukan juara bertahan kendalian Mauricio Pochettino kekal berada di tangga kedua dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bordeaux, sementara Lyon ketinggalan satu mata di belakang selepas membenam Rennes dengan jaringan gol yang sama.

Pasukan di tangga keempat, Monaco ketinggalan tujuh mata setelah mencatat kekalahan 1-0 di Strasbourg.

Pasukan bimbingan Christophe Galtier itu melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan tetapi dikecewakan oleh pasukan yang menduduki tangga kelapan, Marseille di Stade Pierre-Mauroy selama hampir 90 minit perlawanan.

David dan Timothy Weah kedua-duanya membuat percubaan pada separuh masa kedua namun diselamatkan oleh Steve Mandanda.

Tetapi ketika penjaga gol Marseille menampan percubaan Jonathan Ikone pada minit ke-90, singgah kepada David lalu melorongkan bola masuk ke gawang.

Pemain berusia 21 tahun melengkapkan kemenangan tiga minit sebelum perlawanan tamat, menyempurnakan hantaran lintang Ikone untuk menjaringkan gol kesembilan pada musim ini.

Lille akan berkunjung ke Monaco dalam perlawanan liga seterusnya dalam tempoh 11 hari ketika mereka meneruskan usaha untuk mengejar trofi utama pertama sejak memenangi Liga dan Piala Perancis pada 2011.

PSG tidak mengharungi masalah turun bermain tanpa Neymar, pemain digantung, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria untuk terus memberikan tekanan. – AFP

Reaksi Jonathan David meraikan gol bersama rakan sepasukan apabila membantu Lille mengukuhkan kedudukan di puncak Ligue 1 setelah membenam Marseille 2-0, kelmarin. – AFP