Lima atlet Jujitsu sertai Terbuka Jakarta 2019

INDONESIA, 10 DIS – Lima orang atlet Brazilian Jujitsu dari Brunei Darussalam baru-baru ini menyertai Kejohanan Brazilian Jujitsu Antarabangsa Terbuka Jakarta 2019 yang diadakan di Candra Wijaya International Badminton Hall, BSD City di Indonesia.

Semasa menyertai kejohanan tersebut, kelima-lima atlet telah berjaya memperoleh pingat dalam acara masing-masing.

Merangkul pingat emas, Rasimoon Adinin mewakili Khalifa Mixed Martial Arts Brunei yang menang di perlawanan separuh akhir menentang Henrix Setyawan daripada De Been Jiujitsu Indonesia dengan mengumpul mata 4-0.

Dalam perlawanan akhir, Rasimoon berdepan Tjong Minton Gozali daripada Warrior MMA Indonesia. Rasimoon memenangi perlawanan dengan memaksa lawan menyerah kalah.

Sementara itu, atlet Jacob Kong yang mewakili Absolute MMA terpaksa mengalahkan dua atlet lain, kedua-duanya dari Indonesia dalam pusingan awal.

Atlet jujitsu negara bergambar bersama pingat yang berjaya diperoleh di Kejohanan Terbuka Jakarta 2019.

Akan tetapi, di perlawanan separuh akhir Jacob tewas dalam perlawanan yang sengit menentang Adriano Frizky daripada Gracie Barra Indonesia dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Muhammad Iskandar yang juga mewakili Khalifa Mixed Martial Arts Brunei bertanding dalam Kategori Rooster Weight. Dia memenangi perlawanan pusingan suku akhir menentang Herman Herman daripada De been Jiujitsu Indonesia dengan memperoleh mata 15-0, tetapi tewas dengan menyerah kalah dalam pertarungan sengit di separuh akhir menentang Dwi Priyanto daripada Jogja Jujitsu Academy Indonesia.

Manakala, Haji Abdul Azim Isahak menyumbang pingat gangsa ketiga negara. Mewakili The Refinery Oil Town Brunei, Azim menang di suku akhir menentang Faris Adlin daripada Werewolf Martial Arts Indonesia tetapi tewas di separuh akhir ke atas Rio Adriano daripada Gracie Barra Indonesia dengan menyerah kalah.

Seterusnya wakil tunggal wanita, Nadine Kong memberikan saingan terbaik di peringkat separuh akhir, tetapi terpaksa menyerah kalah ketika berdepan dengan Sophia Thompson daripada Fortitude Martial Arts Singapura.

Nadine menyumbangkan pingat gangsa keempat yang juga mewakili Khalifa Mixed Martial Arts Brunei.