Lima buah sekolah terima sumbangan jaket keselamatan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Lima buah sekolah rendah telah menerima sumba-ngan jaket keselamatan daripada Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan keselamatan pelajar-pelajar yang menggunakan pengangkutan air.

Penyerahan sumbangan jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak berkenaan telah berlangsung di Restoran Horizon, di ibu negara, hari ini, di mana Sekolah Rendah Saba Darat, Sekolah Rendah Bendahara Lama, Sekolah Rendah Sungai Siamas, Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil dan Sekolah Rendah Tanjung Kindana menerima sumbangan tersebut.

Sumbangan tersebut adalah hasil sokongan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada The Beach Bunch, Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Kira-kira 250 orang pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan yang menggunakan pengangkutan air untuk pergi ke dan balik dari sekolah.

Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyampaikan sumbangan jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak kepada salah seorang pelajar.
Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, PBMP menasihatkan orang ramai untuk mengambil berat mengenai keselamatan semasa menggunakan pengangkutan air walaupun membuat perjalanan yang dekat.

Dengan sumbangan tersebut, pihak PBMP berharap untuk menanamkan budaya sentiasa beringat mengenai keselamatan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah tersebut dan akan menjadi amalan berterusan.

Selain daripada penyerahan jaket keselamatan, Printmartz Advertising juga turut menyumbangkan barangan dan keperluan penutup mulut dan hidung kepada sekolah-sekolah rendah tersebut bagi membantu usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, ketua-ketua kampung di Kampong Ayer, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pendidikan, wakil syarikat-syarikat swasta dan NGO serta guru besar sekolah-sekolah rendah yang menerima sumbangan berkenaan.