Saturday, January 25, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima diberkas terlibat dadah

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Lima warganegara tempatan yang terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 38 hingga 47 tahun serta dua wanita yang berusia 31 tahun dan 61 tahun telah ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam satu serbuan di salah sebuah rumah di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Rumah Kembar Baharu, Kampung Rimba, Gadong kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKN, di sini, hari ini, hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, BKN telah menjumpai dan merampas beberapa plastik yang mengandungi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu sejumlah 52.26 gram (berat kasar) dan empat biji pil dipercayai jenis Erimin 5 serta peralatan yang digunakan untuk mengambil dadah.

    Menurut kenyataan BKN hari ini, kes itu akan disiasat di bawah kesalahan-kesalahan berikut iaitu Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan dan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan 15 sebatan, Seksyen 6(a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya, Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 7, APD, Penggal 27, iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

    Antara bukti yang ditemui BKN dipercayai mengandungi ketulan hablur dadah jenis Syabu.

    Tambah kenyataan itu lagi, wanita berumur 61 tahun, merupakan pemilik premis berkenaan, akan disiasat di bawah Seksyen 9, APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memberi kebenaran bagi premis yang dimiliki untuk digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan dadah yang boleh membawa hukuman minimum dua tahun penjara atau denda sebanyak $4,000 atau kedua-duanya dan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda $40,000 atau kedua-duanya.

    BKN dalam kenyataannya lagi memberi amaran adalah menjadi satu kesalahan sekiranya terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung penyalahgunaan dan pengedaran dadah termasuk memberi kebenaran bagi premis yang dimiliki untuk digunakan dalam aktiviti-aktiviti yang berkaitan dadah.

    Setiap kesalahan yang menyalahi undang-undang diperuntukkan akan dijatuhi hukuman di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27.

    BKN turut menyeru kepada orang ramai, sekiranya terdapat sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah, bolehlah menghubungi talian BKN di 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau dengan menghantarkan e-mel ke ncb@nacotics.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda