Lima ditahan berkaitan insiden empangan runtuh

RIO DE JANEIRO, 30 Jan – Pihak berkuasa Brazil kelmarin menahan lima individu berhubung tragedi empangan sisa perlombongan bijih besi runtuh minggu lepas, yang meragut nyawa beratus-ratus orang dan mencetuskan bencana alam sekitar.

Suspek terdiri daripada tiga pekerja gergasi perlombongan Vale, pemilik lombong di Brumadinho yang terletak di tenggara negeri Minas Gerais, dan dua jurutera subkontraktor.

Agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa kelima-lima individu akan ditahan polis selama 30 hari.

Pekerja terbabit ‘adalah terlibat secara langsung dalam proses pelesenan empangan yang runtuh’ manakala jurutera berkenaan ‘telah mengisytiharkan empangan itu stabil,’ menurut agensi berita rasmi Agencia Brasil.

Ketika menahan suspek, polis turut merampas pelbagai dokumen sebagai bukti.

“Adalah sukar dipercayai bahawa empangan sebesar itu, yang dikendali oleh satu daripada firma perlombongan terbesar di dunia boleh pecah secara tiba-tiba, tanpa sebarang tanda kelemahan,” kata Perla Saliba Brito, hakim persekutuan yang mengarahkan penahanan itu.

Empangan itu dilaporkan dilengkapi sensor yang berupaya mengesan tanda-tanda kelemahan struktur. Insiden itu, merupakan yang kedua membabitkan empangan sisa perlombongan milik Vale di Brazil yang runtuh dalam tempoh tiga tahun, membanjiri komuniti dan kawasan sekitar dengan lumpur toksik.

Pada November 2015, sebuah empangan sisa perlombongan milik Vale pecah di Mariana, juga di Minas Gerais, dan telah memusnahkan seluruh komuniti serta menyebabkan 19 orang maut. – Bernama