Lima kampung di Kudat ditenggelami air

KOTA KINABALU, 11 JAN – Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan lima kampung di Kudat ditenggelami air sejak pagi tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini,  kampung yang terlibat ialah Kampung Landung Ayang, Kampung Sri Aman, Kampung Air, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Dampirit.

Hujan lebat itu turut menjejaskan beberapa batang jalan utama di daerah berkenaan, iaitu Jalan Tamalang, Jalan Airport dan jalan menuju ke pusat bandar yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil, selain berlaku pokok tumbang dan tanah runtuh.

“Pemantauan dibuat oleh beberapa agensi termasuk bomba, polis dan APM Kudat mendapati paras air semakin meningkat.

“Anggota bertugas memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung agar peka dengan keadaan cuaca dan paras air, selain segera berpindah ke kawasan selamat.

“Setakat ini, seramai 44 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Tun Mustapha,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut APM, paras air Sungai Rampai di Kampung Korina setakat 9:30 pagi tadi ialah 2.0 meter iaitu paras amaran.

Di Sandakan pula, keadaan hujan lebat sejak awal pagi tadi telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Kilometer 1 Jalan Buli Sim Sim sehingga pihak berkuasa mengambil langkah keselamatan dengan menutup sementara jalan itu.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, kejadian kira-kira 10:45 pagi itu yang membabitkan sebuah bukit berdekatan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda. – Bernama