Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima kanak-kanak maut belon meletup

    SYDNEY, 16 DIS – Lima kanak-kanak sekolah maut dan beberapa lagi cedera parah selepas mereka melambung 10 meter ke udara apabila permainan belon istana meletup dalam satu parti akhir penggal sekolah di Tasmania, hari ini.

    Polis berkata insiden berlaku ketika murid sebuah sekolah rendah di utara Tasmania, Devonport, sedang bergembira meraikan minggu terakhir persekolahan sebelum cuti Krismas.

    Polis sebelumnya mengesahkan dua murid lelaki dan dua perempuan dari gred lima dan enam – biasanya berusia 10 -12 tahun – terbunuh dalam insiden itu, dengan pelajar kelima meninggal dunia di hospital selepas kejadian.

    Beberapa helikopter penyelamat dan ambulans dihantar ke tempat kejadian, yang berlaku kira-kira 10 pagi waktu tempatan.

    Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, insiden itu ‘amat menyedihkan’, di luar jangkaan dan menyayat hati.

    “Kegembiraan dan keseronokan anak kecil bersama keluarga mereka, kemudian bertukar kepada tragedi yang begitu ngeri akhir tahun ini, ia sangat ‘menghancurkan jiwa’.

    “Saya hanya mampu berdoa semoga awda mempunyai keluarga yang terbaik dan kawan yang hebat walaupun awda terpaksa melalui tragedi ngeri ini,” katanya.

    Pihak sekolah menjemput ibu bapa menjadi sukarelawan dalam acara itu yang menyediakan zon permainan basah, gelongsor, kawasan seni dan kraf serta belon istana.

    “Pesta ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan sepanjang tahun dan menikmati beberapa aktiviti menyeronokkan dengan rakan sekelas,” kata sekolah Hillcrest Primary, dalam hantaran di Facebooknya. – AFP

    Kakitangan perkhidmatan kecemasan bekerja di tapak kejadian di Sekolah Rendah Hillcrest di Devonport, Tasmania kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda