KUALA LUMPUR, 29 APRIL – Lima konsortium iaitu Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd, GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd, Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial Service Co Ltd-AEON Credit Service (M) Bhd-MoneyLion Inc dan KAF Investment Bank Sdn Bhd berjaya mendapatkan lesen bank digital Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata Boost-RHB Bank, GXS Bank-Kuok Brothers dan Sea Ltd-YTL Digital Capital dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).
Manakala konsortium AEON Financial Service-AEON Credit-MoneyLion dan KAF Investment Bank dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).
Menurut bank pusat, tiga daripada lima konsortium itu dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank, Sea Ltd dan YTL Digital Capital serta KAF Investment Bank.
BNM berkata pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi.
Proses ini mungkin mengambil masa antara 12 dan 24 bulan.
Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan.
Katanya melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, pihaknya dapat memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik. – Bernama