Lima kunci utama jelajah golf eropah menjelang bulan julai

LONDON, 31 MEI – Jelajah Golf Eropah dijadualkan disambung semula pada akhir bulan Julai setelah penutupan sukan itu akibat wabak COVID-19 selama empat bulan dengan enam kejohanan dalam tempoh beberapa minggu di seluruh Britain.

Walau bagaimanapun, acara akan dimainkan tanpa penonton dan dikenakan protokol keselamatan dan ujian yang ketat sepanjang musim yang akan berlangsung sehingga Disember.

Apa yang diharapkan dengan perlawanan dijangka dimulakan semula pada 22 Julai:

-Ujian ketat di lokasi kejohanan

Pemain akan melalui ujian virus itu sebaik sahaja tiba di tempat kejohanan tersebut, bermula dengan British Masters di timur laut England.

Tempat-tempat akan dilengkapi sepenuhnya dengan teknologi pengimbas suhu badan dan ujian PCR untuk menangani semua tugas perubatan di tempat berkenaan.

Pemain golf melintasi Jambatan Swilcan yang ikonik dengan tanda di rumput yang mengingatkan para pemain golf supaya mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial di The Old Course di St Andrews, Scotland pada 29 Mei. – AFP

Pada setiap perlawanan golf penjarakan sosial perlu diamalkan.

Jelajah Eropah membelanjakan lebih dari AS$2.47 juta untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan baharu ini, yang meliputi para pemain, anggota staf dan pegawai TV, yang juga perlu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum memasuki tempat kejohanan.

Semua acara bergantung pada pembatalan tempoh kuarantin selama dua minggu yang diarahkan oleh kerajaan Britain berkaitan dengan mereka yang melakukan perjalanan dari luar negara.

-Memakai mikrofon sepanjang kejohanan

Untuk mengimbangi kekurangan penonton, pemain akan digalakkan untuk memakai mikrofon semasa bertanding untuk memberikan penonton TV konsepsi siaran secara langsung.

“COVID-19 membenarkan anda untuk mencuba sesuatu yang sedikit berbeza,” kata ketua eksekutif Jelajah Eropah, Keith Pelley. “Saya fikir anda harus kreatif ketika bermain di belakang pintu tertutup. “Ini benar-benar melihat seberapa kreatifnya anda dan bagaimana pemain anda ingin mencuba sesuatu perubahan. Inilah masanya untuk kita melakukan beberapa perkara dengan cara yang berbeza.”

-Pengurangan hadiah wang tunai

Enam kejohanan di UK masing-masing dijangka menawarkan wang sekitar satu juta euro, hanya sepertiga daripada wang hadiah di British Masters tahun lalu.

Dengan pendapatan yang terjejas akibat wabak tersebut, hadiah wang tunai yang ditawarkan kepada pemain akan dikurangkan setelah mencapai rekod tertinggi pada tahun 2018 dan 2019. “Apa yang kita hadapi, tidak mengejutkan bahawa tahap dana bagi hadiah kita akan turun sedikit memandangkan krisis global yang sedang melanda dunia,” kata Pelley, yang menafikan Jelajah Eropah menghadapi kemuflisan.

-Jadual penuh untuk diikuti

Penganjur telah menyusun 24 jadual kejohanan untuk baki musim ini, dengan acara di Ireland, Itali, Sepanyol dan Portugal masih belum dapat disahkan. Empat acara Siri Rolex juga telah diumumkan, dengan Kejuaraan Terbuka Scotland dan PGA dalam beberapa minggu berturut-turut pada bulan Oktober, sementara Nedbank Golf Challenge di Afrika Selatan dan Kejuaraan Jelajah Dunia di Dubai akan berlangsung pada bulan Disember.

“Kami belum mengeluarkan keseluruhan jadual 2020 kami pada masa ini, dengan sejumlah acara biasa dan ikonik bukan merupakan bahagian dari pengumuman ini,” kata Pelley.

“Yakinlah bahawa mereka semua masih merupakan sebahagian daripada rancangan kami, tetapi kami mempunyai pelbagai pilihan sekarang dan kami akan segera mengumumkannya.”

Acara ini dijangka menampilkan 144 pemain. Para pemain tidak sabar untuk kembali beraksi. Pengumuman kejohanan golf akan disambung pada musim panas ini disambut dengan penuh semangat oleh sebilangan besar pemain. – AFP