Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Lima orang termasuk dua warga tempatan, seorang penduduk tetap dan dua warga Malaysia telah ditangkap dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Rimba yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian secara online, kelmarin.
Serbuan dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei hasil maklumat yang dikongsi oleh orang awam.
Dalam serbuan itu, pihak polis juga telah merampas 15 unit komputer riba dan satu unit mesin gaming yang mengandungi program permainan perjudian SCR888.
Menurut pihak polis, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4, kesalahan melibatkan pe-ngendalian tempat perjudian, Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28.
Pasukan Polis Diraja Brunei turut menasihatkan orang ramai supaya tidak akan terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang dan memohon jika mendapati sebarang aktiviti yang mencurigakan hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan atau memaklumkan balai-balai polis yang berdekatan.