Lima lagi didenda buang sampah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Empat individu dikenakan kompaun $100 setiap seorang setelah didapati membuang sampah dan puntung rokok di tempat awam di Kawasan Kampung Serusop, Kiulap dan Pusat Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Individu-individu berkenaan yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Filipina telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Penggal 30, Seksyen 12 (1) (A).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, individu-individu berkenaan didapati melakukan kesalahan berkenaan semasa pemantauan kebersihan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Sementara itu, di Daerah Belait, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait telah mengeluarkan kompaun $300 terhadap seorang lelaki warga asing kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1) (c) Akta kesalahan-kesalahan kecil Penggal 30.

Lelaki berkenaan didapati meletakkan atau menumpah cecair yang menyebabkan kotoran itu mengalir ke tempat awam hingga menimbulkan bau yang menjejaskan persekitaran, semalam.

Kesemua individu terbabit diberikan tempoh seminggu untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000. Manakala kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

Cecair ditumpahkan di tempat awam yang menimbulkan bau.