Lima lagi didenda buang sampah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Lima orang warga asing telah dikenakan kompaun $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) kerana membuang sampah di tempat awam di Kawasan Malabau, Serusop, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), di sini, individu-individu berkenaan, tiga orang warga Bangladesh dan dua orang warga Filipina didapati melakukan kesalahan semasa pemantauan kebersihan rutin harian oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran BSB.

Mereka dikehendaki membayar kompaun berkenaan dalam tempoh tujuh hari.
Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

Manakala kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei
Darussalam.

Mereka yang ingin untuk menghadapkan sebarang aduan dan perkongsian maklumat berkaitan boleh disalurkan terus ke talian E-Darussalam 123, e-mel [email protected] atau laman sesawang www.123.gov.bn atau WhatsApp ke talian 8333123.