Lima lagi kes baharu COVID-19 dicatatkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Sebanyak lima lagi kes baharu yang telah dijangkiti COVID-19 telah dicatatkan di negara ini yang secara keseluruhan setakat hari ini membawa kepada 109 orang.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di, Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Kes 105 ialah seorang lelaki tempatan berumur 17 tahun yang mempunyai kaitan dengan kluster keluarga yang telah melancong ke Surabaya, Indonesia dan telah pulang ke negara ini pada 20 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI796.

Sementara itu kes 106, berumur 23 tahun ialah seorang warga tempatan yang telah pulang ke negara ini dari United Kingdom pada 23 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI004 (tempat duduk 39B). Beliau mula mengalami sakit kepala pada 24 Mac 2020.

Manakala kes 107 ialah seorang lelaki pekerja asing berumur 51 tahun yang bekerja di Negara Brunei Darussalam dan pulang ke negara ini dari Surabaya, Indonesia pada 20 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI796 (tempat duduk 29B).

Walau bagaimanapun, kes ini bukan dalam rombongan yang sama dengan kes 91, 93, 96, 97, 98, 99, 100, 102, 104 dan 105.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan me-ngongsikan perkembangan terkini situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Sedangkan bagi kes 108 berumur 72 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan Kes 73, 80, 88, 101 dan 109 di mana beliau telah pulang dari United Kingdom bersama kes 73 pada 16 Mac 2020 dan ujian makmal beliau pada awalnya adalah negatif. Beliau tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.

Manakala kes 109 berumur 33 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan kes 73, 80, 88, 101 dan 108 di mana beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula mengalami demam panas dan selesema pada 23 Mac 2020.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada sidang media petang tadi juga memaklumkan kepada orang ramai bahawa daripada 109 kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, seorang masih dalam keadaan kritikal dan pada masa ini memerlukan mesin bantuan pernafasan dan alat bantuan tambahan iaitu heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, tiga orang dalam pemantauan rapi manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pada ketika ini seramai 1,211 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 655 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Sejak awal Januari 2020, sebanyak 4,084 ujian makmal bagi COVID-19 telah
dijalankan.

Sementara itu bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa).