Lima laras senapang angin dirampas

KOTA KINABALU, 17 JULAI – Polis Sabah merampas lima laras senapang angin di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat penagihan dadah di Bongawan, kira-kira 72 kilometer dari sini, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Zaini Jass berkata ketika serbuan yang dijalankan pada 10:30 pagi, seorang individu yang berada dalam rumah jenis kayu itu berjaya melarikan diri.

“Polis yang menyerbu rumah itu menjumpai peralatan untuk menagih dadah sebelum menggeledah dan menjumpai lima laras senapang tersimpan di bawah katil di salah satu daripada dua buah bilik di rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini. – Bernama