Lima maut bangunan runtuh di Shanghai

SHANGHAI, 16 Mei – Lima orang terbunuh hari ini selepas bumbung sebuah bangunan komersil Shanghai runtuh tatkala para pekerja sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada bangunan itu, kata kerajaan bandar itu.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi (0330 GMT) di kawasan kejiranan Shanghai, menjejaskan kira-kira 20 orang, menurut pegawai penyelamat.

Sumber-sumber rasmi memberikan jumlah yang berbeza dalam bilangan mangsa yang telah dikeluarkan daripada tapak runtuhan itu sepanjang hari ini, tetapi kedua-dua kerajaan bandar dan kementerian kecemasan negara itu kini sedang memaklumkan seramai lima orang telah terkorban.

Akaun media sosial yang disahkan oleh kementerian kecemasan China menunjukkan gambar anggota penyelamat yang sedang berusaha untuk mengeluarkan para pekerja yang tercedera daripada tapak runtuhan berkenaan.

Pihak berkuasa tidak memberikan butiran mengenai tahap kecederaan yang dialami oleh pekerja yang terlibat.

Anggota pasukan penyelamat ketika berusaha mencari mangsa yang terperangkap di tapak bangunan runtuh di Shanghai, kelmarin. – AFP

Polis segera menutup kawasan itu dengan mengarahkan anggota keselamatan untuk mengawal tapak itu dan menghalang para wartawan untuk mendekati lokasi kemalangan itu. Bangunan itu sebelum ini telah digunakan sebagai pengedar kereta Mercedes-Benz, kata biro penyelamat bomba.

Ia sedang dibangunkan semula sebagai tapak penggunaan seni dan inovasi, menurut laporan media China.

Seorang penduduk setempat memberitahu AFP bahawa ketika kejadian itu mula-mula berlaku, dia sedang tidur dan tiba-tiba katilnya bergegar seolah-olah berlaku satu gempa bumi.

“Pada mulanya saya fikir ia adalah letupan,” kata wanita itu, yang enggan memberi nama atau mengulas lanjut.

Laporan media China mengatakan strukturnya adalah sekitar 3,000 meter persegi (32,000 kaki persegi) di kawasan itu. Gambar udara di media sosial menunjukkan bahawa separuh daripada bumbung bangunan itu runtuh.

China telah melihat banyak kejadian bangunan runtuh pada tahun-tahun kebelakangan ini. – AFP