Lima maut dalam kebakaran bengkel bunga api

SAN SALVADOR, 8 NOV – Lima orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah rumah El Salvador yang digunakan sebagai bengkel untuk menghasilkan bunga api, kata pihak berkuasa semalam.

“Lima orang mati terbakar dalam satu kebakaran di rumah mereka di Bandar El Carmen timur ibu negara San Salvador, kata Polis Awam Nasional di Twitter.

Menurut siasatan awal, mangsa yang terkorban telah bekerja dengan serbuk letupan, dalam apa yang diberitahu jurucakap briged bomba kepada AFP sebagai ‘bengkel haram’ untuk menghasilkan bunga api dan piroteknik lain.

Setiap tahun pada November dan Disember, kebakaran dilaporkan di beberapa rumah El Salvador yang telah diubah kepada kilang kecil rahsia untuk bunga api, yang dijual di taman-taman dan dataran sebelum perayaan Krismas dan Tahun Baharu. – AFP