Lima maut, kereta jatuh ke gaung

NEW DELHI, 11 Okt – Lima orang maut manakala 12 lagi cedera apabila kenderaan yang membawa mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam sebuah gaung di negeri Tamil Nadu yang terletak di selatan India, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis pada Khamis.

Kesemua mangsa yang maut meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera dirawat di sebuah hospital berhampiran.

Dua mangsa yang cedera, termasuk pemandu kenderaan, dikatakan berada dalam keadaan kritikal. Nahas itu berlaku di Kadamparai yang terletak dalam daerah Coimbatore.

“Kenderaan yang membawa kesemua mangsa, yang merupakan anggota puak Mavadappu dari petempatan berhampiran, telah terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung selepas pemandunya hilang kawalan ketika mengambil satu selekoh tajam pada lewat malam Rabu,” kata seorang pegawai polis.

Pemandu kenderaan itu telah ditahan kerana memandu secara melulu dan cuai. – Bernama