Lima maut kilang mercun meletup

ROM, 21 NOV – Lima orang maut semalam dalam dua letupan di kilang mercun di Sicily, kata bomba dan polis selepas kejadian yang berlaku di syarikat perniagaan milik sebuah keluarga.

Letupan lewat tengah hari semalam itu meragut dua nyawa pekerja serta-merta dan isteri pemilik syarikat Costa di Barcellona Pozzo di Gotto, di wilayah Messina, Sicily. Wanita itu berusia 71 tahun.

Anak lelaki pemilik cuba menyelamatkan nyawa ibunya dan seorang daripada empat yang dibawa ke hospital kerana kecederaan serius, kata polis. Seorang daripada mangsa yang cedera dilaporkan meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.

“Menurut bukti awal, terdapat dua letupan berlaku,” kata komander polis, Giancarmine Carusone.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada percikan peralatan kimpalan. Seorang pekerja yang dilaporkan hilang kemudian ditemui mati di bawah sisa runtuhan.

Seorang lagi pekerja yang berada dalam kilang ketika letupan berjaya ditarik keluar. Pasukan bomba meneruskan usaha mencari mangsa seterusnya.

Pekerja kilang bersiap sedia meraikan sambutan Tahun Baharu termasuk pertunjukan bunga api di seluruh selatan Itali yang dipercayai bertujuan untuk menghalau semangat jahat. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh anggota bomba kelmarin menunjukkan mereka sedang bergelut untuk memadamkan kebakaran di sebuah kilang mercun yang meletup di Sicily. – AP