Lima maut, lebih 50 lagi cedera kebakaran lori tangki

MOSCOW, 24 JAN – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera dalam kebakaran, selepas sebuah lori tangki membawa muatan gas asli meletup di ibu kota Peru, Lima, lapor agensi berita Sputnik memetik media pada hari ini.

Menurut akhbar El Comercio di Peru, kejadian berlaku pada Khamis pagi apabila lori itu merempuh sebuah kedai membaiki kenderaan. Rempuhan menyebabkan berlaku letupan kuat yang mencetuskan kebakaran. Kebakaran turut merosakkan 20 bangunan.

Beberapa mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, lapor media memetik Kementerian Kesihatan. Pihak berkuasa tempatan melanjutkan waktu operasi pusat pengumpulan darah di beberapa hospital dan menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa yang terpaksa mengosongkan rumah mereka. – Bernama

Seorang polis berdiri berdekatan rangka sebuah lori tangki yang meletup di Lima. – AFP