Lima militan maut di selatan Kashmir

SRINAGAR (Jammu Kashmir), 11 Feb – Lima anggota militan terbunuh dalam satu pertempuran dengan pasukan bersenjata India di selatan Kashmir hari ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.

“Berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai berkaitan kehadiran pengganas di kawasan Kellam di Devsar dalam daerah Kulgam, satu operasi mengepung dan mencari telah dilancarkan. Dalam pertembungan yang berlaku selepas itu, lima anggota militan telah terbunuh dan mayat mereka telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran,” menurut kenyataan itu.

Kesemua militan yang terbunuh telah dikenal pasti sebagai penduduk tempatan Kashmir.

Dalam insiden berasingan, beberapa orang termasuk tujuh anggota pasukan bersenjata India, cedera dalam satu letupan bom tangan di bandar Srinagar.

“Empat anggota polis, tiga anggota separa tentera dan empat orang awam cedera dalam serangan bom tangan itu,” kata polis.

Kashmir, sebuah rantau di Himalaya yang penduduk majoritinya beragama Islam, dikuasai India dan Pakistan di beberapa bahagian dengan kedua-dua negara menuntut hak penuh ke atasnya.

Sebahagian kecil Kashmir turut dikuasai China.

Sejak berpecah pada 1947, India dan Pakistan telah tiga kali terjerumus dalam kancah peperangan iaitu pada 1948, 1965 dan 1971 – dua daripadanya kerana berebutkan Kashmir. – Bernama