Lima muzium teraneh di dunia

Oleh Adiiwira

Setiap kali kita mendengar perkataan muzium, kita akan dapat membayangkan kandungan di dalam sebuah muzium iaitu barang-barang lama yang dijadikan sebagai pameran untuk tontonan awam yang menceritakan tentang sejarahnya atau peristiwa yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu.

Di negara kita sendiri tidak terkecuali mempunyai khazanah budaya negara yang bernilai tinggi yang dijaga di beberapa buah muzium yang boleh dikunjungi awam seperti Muzium Brunei, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim Brunei Darussalam dan sebagainya.

Bagi penulis di luar negara, muzium merupakan tempat tumpuan bagi para pelancong luar atau dalam di sesebuah negara tersebut. Namun, tidak semua muzium-muzium yang ada akan mempamerkan benda yang sama kepada pengunjung.

Malah ada kelainan dan keanehan benda yang disimpan di dalam muzium untuk dipamerkan sebagai tontonan pengunjung. Dalam ruangan kali ini, penulis akan mengongsikan lima muzium teraneh di dunia mengikut hasil pembacaan penulis:

Muzium Lunchbox

Salah satunya ialah muzium teraneh yang menjadikan bekas bekalan sebagai koleksi di sebuah muzium.

Muzium Lunchbox ini terletak di Georgia, Amerika Syarikat yang tersembunyi di dalam sebuah kedai menjual barangan antik di Colombus. – Agensi
Muzium Chensekikan ini dikatakan menyimpan 1,700 koleksi batu dan 900 daripadanya menyerupai bentuk wajah manusia. – Agensi
Sulabh International Museum of Toilets diiktiraf sebagai satu-satunya muzium tandas di dunia.
– Agensi

Muzium Lunchbox ini terletak di Georgia, Amerika Syarikat yang tersembunyi di dalam sebuah kedai menjual barangan antik di Colombus. Bekas bekalan yang disimpan di sini bukanlah sesuatu yang biasa kerana muzium ini menyimpan bekas logam yang pernah popular suatu ketika dahulu sekitar tahun 1920 hingga 1970an.

Muzium ini dimiliki oleh Allen Woodall yang dibuka pada tahun 1990-an setelah mewarisi beberapa buah bekas logam dari kawannya yang telah meninggal dunia.

Apa yang menarik tentang bekas logam ini, masing-masing dihiasi pelbagai karakter yang disukai kanak-kanak pada masa itu seperti Mickey Mouse, Bionic Woman, Spider Man, The Dukes of Hazzard, Superman, Snoopy, dan banyak lagi. Saat ini, ruang koleksi Woodall dipenuhi sekitar 3,500 kotak. Menurut keterangan Woodall, hanya 450 bekas yang layak menjadi koleksi yang dikeluarkan sejak tahun 1951 sampai 1985.

Bekas-bekas itu kini sudah menjadi barang berharga dan langka yang bernilai sampai AS$2,500.

Sulabh International Museum of Toilets

Secara logiknya tidak ada yang menarik tentang tempat tandas ini untuk menjadi bahan tontonan awam. Namun berbeza pula di pinggir New Delhi, India, menjadikan tempat tandas menjadi bahan pameran di sebuah muzium yang merupakan hanya sebuah bangunan kecil yang memiliki ruang yang panjang.

Walau bagaimanapun, muzium ini menjadi penting kerana diiktiraf sebagai satu-satunya muzium tandas di dunia.

Muzium ini dibuka pada tahun 1992 dan sejak itu muzium ini menerima kedatangan 100,000 pengunjung.

Menurut laporan DailyMail, muzium ini menawarkan ratusan jenis tandas kuno dari seluruh dunia. Yang paling tua adalah tandas antik yang berasal dari tahun 2,500 SM.

Koleksi-koleksi tempat tandas di muzium ini memiliki keunikannya tersendiri dan ada yang berkonsepkan aneh yang mungkin mampu membuat anda tersenyum.

Walau bagaimanapun, tidak hanya tempat tandas kuno yang dipamerkan, terdapat beberapa tempat tandas elektronik super canggih dari Jepun.

Kesemua koleksi tempat jamban ini bukan sesuatu yang mudah untuk didapatkan.

Hal ini kerana untuk mengumpulkan koleksi ini memerlukan pemilik muzium menjelajahi seluruh dunia untuk mendapatkannya.

Museum Chinsekikan

Muzium ketiga yang ingin dikongsikan penulis ini tidak kurang anehnya.

Ini kerana, muzium ini menjadikan batu-batu yang aneh sebagai bahan koleksi untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Namun apa yang lebih membuatnya sebagai koleksi batu yang aneh, batu-batu ini dikatakan memiliki wajah manusia. Bahkan ada yang serupa dengan tokoh terkenal seperti Elvis Presley, ET, Donkey Kong dan banyak lagi.

Muzium ini dikatakan menyimpan 1,700 koleksi batu dan 900 daripadanya menyerupai bentuk wajah manusia. Menurut informasi yang diperolehi penulis, muzium ini telah dijalankan oleh dua generasi.

Pemilik asal muzium ini dikatakan menghabiskan waktu selama 50 tahun untuk mengumpulkan ribuan batu yang berbentuk aneh.

Namun selepas pemilik asalnya meninggal dunia pada tahun 2010, muzium tersebut kini dijalankan oleh anaknya. Muzium ini dikatakan masih mencari batu sebagai bahan tambahan untuk koleksi.

Museum of Broken Relationships

Pada kebiasaannya setiap hubungan percintaan yang terhenti di tengah jalan setentunya memberikan impak yang menyedihkan. Sehinggakan memori indah serta barangan sentimental ingin dibuang jauh dari kehidupan demi melupakannya.

Namun berbeza pula dengan sebuah muzium di Zagreb di Crotia, menjadikan barang-barang kenangan pasangan yang sudah putus seperti gambar, surat, dan benda-benda lain yang menyimpan kenangan saat pasangan masih bersama.

Sesuatu yang menarik di sini adalah muzium ini didirikan oleh pasangan yang juga sudah berpisah iaitu Olinka Vistica, seorang penerbit filem dan Drazen Grubisic, seorang ahli seni ukir memutuskan untuk mendirikan muzium setelah hubungan mereka yang dijalani selama empat tahun terkandas. Oleh sebab konsepnya yang unik, muzium sempat diiktiraf Kenneth Hudson Award dari European Museum Forum (EMF) sebagai muzium paling inovatif di Eropah.

Museum of Bad Art

Adakah para pembaca seorang pelukis? Atau seorang yang meminati seni lukisan? Sesetengah orang tidak memiliki bakat dalam seni lukis.

Malah ada yang cuba melukis, bukan gambaran indah dihasilkan malah lukisan terburuk yang terwujud. Setentunya ada perasaan geram dan sakit hati dengan hasil lukisan tersebut.

Walau bagaimanapun, anda tidak perlu merasa malu atau geram dengan hasil lukisan yang buruk. Hal ini kerana lukisan buruk turut diiktiraf sebagai bahan koleksi muzium.

Terdapat sebuah muzium milik persendirian yang terletak di Massachusetts, AS yang didirikan pada tahun 1994 mendedikasikan untuk karya-karya seniman yang karyanya tidak ditampilkan atau dihargai di forum lain. Museum of Bad Art atau juga dikenali sebagai MOBA didirikan oleh peniaga antik Scott Wilson, setelah beliau menunjukkan sebuah lukisan yang telah dipulihkannya dari tong sampah kepada beberapa rakan, yang di antaranya Jerry Reilly mencadangkan untuk memulakan koleksi.

Untuk memasukkan karya dalam koleksi MOBA, karya mestilah asli dan mempunyai niat serius, tetapi karya itu juga mesti mempunyai kekurangan yang signifikan tanpa membosankan.