Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Lima pemenang bertuah memenangi hadiah berupa peluang untuk membeli-belah sepuas hati dalam tempoh 90 saat di Soon Lee Megamart dalam kempen Ayamku Dine & Win yang berlangsung di Restoran Ayamku Cawangan Lambak, hari ini.
Kempen Ayamku Dine & Win yang diadakan setiap tahun telah menerima lebih 9,000 penyertaan dengan membawa tema Supermarket Shopping Spree, di mana Ayamku bekerjasama dengan Kingston Beverage & Creamery bagi acara cabutan bertuah akhir yang diadakan di Restoran Ayamku Cawangan Lambak.
Seramai 15 pemenang bertuah menyertai acara berkenaan di mana lima pemenang terpilih untuk menyertai acara membeli-belah dan 10 orang lagi memenangi hadiah sagu hati berupa baucar membeli-belah Soon Lee bernilai $50.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengurus Eksekutif Restoran Ayamku, Ong Boon Leng dan Pengurus Pemasaran dan Jualan, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Kelvin Wong.
Lima pemenang bertuah berkenaan ialah Awang Shariman bin Awang Murat, Dayang Suliza binti Mohd Yunos, Hajah Nor Juliana binti Haji Kamis, Dayang Nor Erda binti Emran dan Awang Mohd Hazali bin Haji Sulaiman di mana mereka berpeluang membeli-belah sepuas hati dalam tempoh 90 saat di Soon Lee Megamart.
Kempen itu berjalan dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2024 di mana para pemenang bertuah berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditaja oleh Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd.
Restoran Ayamku dan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan menyatakan penghargaan kepada semua atas sokongan berterusan mereka dalam menjayakan kempen berkenaan.