Lima pelanggaran arahan dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Hanya lima pelanggaran arahan telah didapati di seluruh negara pada hari kedua Operasi Peralihan yang dijalankan dari pukul 10 malam hingga 4 pagi tadi.

“Empat daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Manakala itu, satu lagi pelanggaran arahan adalah atas kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth, tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan mengongsikan bahawa tiga kesalahan telah didapati di Daerah Brunei dan Muara, satu kesalahan didapati di Daerah Belait dan satu lagi di Daerah Tutong.