Lima pemenang bawa pulang $10,000

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini, menyampaikan hadiah berjumlah $50,000 keseluruhannya kepada lima orang pemenang bagi cabutan suku kedua Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 2.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berjumlah $10,000 dan para pemenang dipilih daripada pelanggan-pelanggan yang mendaftar bagi BIBD Aspirasi 2 dengan tempoh pemegangan minimum selama 90 hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, para pemenang suku kedua berkenaan ditentukan menerusi acara cabutan secara langsung yang diadakan pada 29 Mei yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dan disaksikan oleh wakil-wakil daripada Bahagian Syariah dan Bahagian Pematuhan BIBD.

Pada 22 Mei, BIBD juga menganugerahkan $1,000 setiap seorang kepada seramai 35 orang pemenang sebagai sebahagian daripada cabutan bulanan keenam kempen berkenaan.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, hadiah-hadiah bagi cabutan suku kedua BIBD Aspirasi disampaikan oleh Pemangku Ketua Perbankan Runcit BIBD, Awang Irwan bin Lamit dalam acara penyampaian hadiah yang berlangsung di Perdana Lounge, BIBD cawangan Kiulap.

Awang Irwan menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang bagi cabutan suku kedua, Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 2 yang berlangsung di BIBD cawangan Kiulap, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD

Kenyataan menjelaskan bahawa memandangkan keadaan pandemik COVID-19 pada masa ini, acara berkenaan dijalankan dengan mengambil kira untuk mengurangkan risiko jangkitan virus serta mematuhi garis pandu perkumpulan ramai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kenyataan menyatakan bahawa untuk layak bagi cabutan utama kempen berkenaan, pelanggan perlu mendaftar atau melanggan kepada BIBD Aspirasi 2 bagi tempoh minimum 90 hari sebelum cabutan berkenaan diadakan di mana mereka yang masih belum melanggan adalah dinasihatkan untuk berbuat demikian.

Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 2 pada masa ini, akan berakhir dengan cabutan bertuah utama untuk menentukan pemenang hadiah bernilai $250,000.

Sehingga Mei, BIBD telah menganugerahkan hadiah wang tunai sebanyak $310,000 keseluruhannya kepada para pelanggan bagi kempen tersebut pada masa ini.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa tarikh terakhir bagi mereka untuk layak menerima ganjaran daripada kempen berkenaan adalah pada pe- nghujung Ogos.

BIBD Aspirasi yang diperkenalkan telah menjadikan disiplin menyimpan lebih mudah, mudah diakses serta lebih senang bagi para pelanggannya di mana langganan dan penebusan boleh dilakukan terus menerusi aplikasi mudah alih BIBD, BIBD NEXGEN Wallet.

Ia telah membantu pada pelanggan untuk menjana disiplin menyimpan yang diharapkan dapat menjadi satu tabiat serta akan meningkatkan budaya menyimpan negara ke satu tahap yang dapat membantu mereka untuk mengekalkan keperluan di setiap peringkat kehidupan mereka.