Lima pemenang bertuah NICB terima hadiah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Lima pemenang bertuah telah membawa pulang ha-diah berupa baucar perjalanan pada Majlis Cabutan Bertuah Travel Campaign yang diadakan di Ibu Pejabat Syarikat National Insurance Company Bhd (NICB), Kiulap, hari ini.

Pemenang pertama, Thien Wei Kee membawa pulang baucar perjalanan bernilai $3,000, sementara Cheong Jak Kim dan Simon Leong Kian Ann masing-masing di tempat kedua dan ketiga membawa pulang baucar bernilai $1,500 dan $1,000.

Manakala pemenang di tempat keempat dan kelima membawa pulang baucar bernilai $750 dan $300.

Penyampaian hadiah kepada para peserta telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Timbalan Pengerusi NICB, Dato Paduka Timothy Ong Teck Mong yang turut disaksikan oleh Pengarah Urusan NICB, Klaus Tomalla.

Turut menerima hadiah ialah ejen-ejen insurans NICB yang menerima ganjaran sebanyak 10 peratus daripada baucar perjalanan keseluruhan para pemenang.

Kempen bersempena ulang tahun ke-50 NICB itu bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2019 dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggannya, di mana penyertaannya disertai lebih 500 orang.

Klaus Tomalla ketika ditemui Media Permata berkata, kempen itu bertujuan untuk memberikan kembali penghargaan kepada para pelanggan yang telah memberikan sokongan padu sepanjang tahun 2019.

Majlis juga dimeriahkan dengan majlis pejabat terbuka sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.

Dato Paduka Timothy Ong Teck Mong bergambar ramai bersama para pemenang.