Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Lima pelanggan bertuah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), memenangi keseluruhan $50,000 bagi Cabutan Suku Ketiga Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 4 yang berlangsung di Bangunan PGGMB, ibu negara, hari ini.
Setiap seorang pemenang cabutan suku ketiga kempen tersebut telah membawa pulang $10,000 manakala seramai 35 pemenang cabutan bulanan pula, membawa pulang hadiah $1,000 setiap seorang.
Para pemenang telah dipilih daripada mereka yang melanggan BIBD Aspirasi dengan tempoh pemegangan minimum 90 hari.
Hadir untuk memulakan cabutan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada lima pemenang bertuah itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BIBD, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang cabutan bulanan.
Juru audit luar dari PricewaterhouseCoopers juga hadir untuk memastikan pengurusan cabutan berkenaan diselia secara bebas. Turut hadir pada majlis itu ialah pihak pengurusan kanan BIBD serta kakitangan bank berkenaan.
Pada majlis itu, lima orang pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah $10,000 setiap seorang ialah Hajah Suria binti Haji Dahali, Dayang Siti Nor Izzati Hasyyati binti Rosli, Dayang A’dhwatul Amanda binti Haji Abdul Kadir, Awang Shalhamdulillah Zulhajji bin Sidi dan Awang Abdul Azim bin Said.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Hajah Suria mengongsikan perasaan syukur, gembira kerana menjadi salah seorang pemenang bertuah terpilih untuk membawa pulang hadiah $10,000.
Beliau berkata tidak menyangka namanya akan terpilih dan merasa ia merupakan rezeki anak kembar yang dikandungnya.
Ketika mengulas mengenai perancangan bagi hadiah yang dimenanginya itu, beliau berkata terdapat juga rancangan untuk disedekahkan kepada adik-beradik dan juga kepada yang memerlukan.
Hajah Suria turut menyatakan dia telah menyertai program Aspirasi sejak dari awal lagi. Beliau meluahkan hasrat untuk terus menyertai program BIBD Aspirasi kerana baginya menabung itu merupakan satu amalan yang baik dan berbaloi. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada BIBD atas penganjuran program BIBD Aspirasi tersebut.
Program BIBD Aspirasi yang kini dalam kitaran keempatnya, diperkenalkan untuk menjadikan disiplin penyimpanan lebih mudah untuk diakses serta lebih mudah di mana langganan serta penebusan boleh dilakukan secara terus menerusi aplikasi mudah alih BIBD NEXGEN Wallet.
Untuk menggalakkan penyimpanan jangka panjang dan pengurusan kewangan, matlamat jangka panjang BIBD adalah untuk memastikan bahawa pelanggan akan terus menyimpan dan berusaha ke arah kebebasan kewangan.
Dengan Aspirasi, bukan sahaja para pelanggan dapat mengekalkan simpanan mereka tetapi mereka juga diberikan ganjaran dengan hadiah bulanan, suku tahun dan hadiah utama.
Untuk melayakkan cabutan ganjaran, pelanggan dikehendaki mengekalkan tempoh pemegangan sekurang-kurangnya 90 hari dengan simpanan pemegangan minimum $50 bagi keseluruhan tempoh program berkenaan.
Bagi mereka yang mendaftar untuk program sebelum 31 Ogos 2022, mereka layak untuk memenangi hadiah di bawah Program Ganjaran BIBD Aspirasi 4.
BIBD Aspirasi 4 sekali lagi akan memberikan ganjaran kepada lebih 400 pemenang dengan hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan $870,000 sepanjang tahun di mana program itu telah memberikan ganjaran kepada seramai 280 pemenang sejak Januari 2022.