Lima pendaki maut di Gunung Elbrus

MOSCOW, 24 SEPT – Lima pendaki mati akibat ribut salji di Gunung Elbrus, puncak tertinggi di Eropah, kata kementerian kecemasan Rusia hari ini.

Kejadian berlaku semalam ketika sekumpulan 19 pendaki berada di ketinggian lebih 5,000 meter (m).

Elbrus, yang terletak di Kaukasus Utara Rusia, adalah gunung tertinggi di Eropah dengan ketinggian 5,642m.

“Malangnya, lima orang mati,” kata Kementerian Kecemasan.

Baki 14 pendaki dibawa ke lembah Azau di bawah gunung dan tugasan menyelamat dilakukan dalam ‘keadaan paling sukar’ dengan angin kencang, jarak pandangan rendah dan suhu di bawah sifar, katanya.

Gambar dari udara menunjukkan pemandangan gunung Caucasus di Rusia dengan Gunung Elbrus di latar belakang. Lima pendaki maut selepas ribut salji melanda Gunung Elbrus kelmarin. – AFP

Syarikat yang mengatur pendakian itu menyatakan bahawa terdapat empat pemandu profesional yang menyertai pendaki berkenaan.

Semasa pendakian, salah seorang pendaki merasa tidak sihat dan berpatah balik dengan salah seorang pemandu. Dia kemudian mati “dalam pelukannya,” katanya.

Kumpulan yang lain terus ke puncak tetapi ‘ribut yang belum pernah terjadi sebelumnya’ melanda perjalanan mereka semasa turun ke bawah.

Salah seorang pendaki patah kaki, seterusnya memperlahankan kumpulan.

Dua pendaki mati akibat beku, dua yang lain tidak sedarkan diri dan mati ketika mereka dibawa turun, kata syarikat itu.

Pemandu dan beberapa peserta telah dimasukkan ke hospital akibat radang dingin.

Walaupun pendakian secara teknikal tidak dianggap sukar, puluhan pendaki mati setiap tahun semasa mendaki ke puncak. – AFP