Monday, December 30, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima pengurus hotel seludup pendatang ditahan

    LILLE, 8 Feb – Lima pengurus hotel yang disyaki ada kaitan dengan rangkaian menyeludup pendatang Albania ke Britain ditahan polis semalam dalam operasi di bandar pelabuhan Calais, kata sumber mahkamah.

    “Ini adalah penyiasatan yang sudah dilakukan sejak beberapa minggu, membabitkan rangkaian penyeludup Albania yang menggunakan empat hotel di Calais,” kata pendakwa raya Boulogne-sur-Mer, Pascal Marconville, mengesahkan laporan akhbar harian La Voix du Nord.

    Mereka yang ditahan adalah pengurus atau penolong pengurus hotel terbabit, kata sumber mahkamah itu lagi.

    “Hotel ini bukanlah milik rakyat Albania tetapi oleh mereka yang secara jelas mengikut siasatan awal kami, menerima rakyat warga negara Albania bagi tujuan rangkaian penyeludupan ini, dalam usaha mereka untuk menyusup masuk ke Britain,” kata Marconville.

    Rangkaian berkenaan menawarkan ‘jaminan laluan’ hanya untuk rakyat Albania, dengan mengenakan yuran antara 5,000 hingga 10,000 euro, bergantung kepada bagaimana mereka akan menyeberangi Selat Inggeris.

    Hotel-hotel dijadikan sebagai transit dan bukan khemah pelarian di pinggir Calais yang pernah didiami hampir 10,000 pendatang.

    Beberapa pendatang yang mendiami sehingga tujuh orang pada setiap bilik hotel juga ditahan, kata Marconville.

    “Kami meragui amalan hotel berkenaan. Tatkala kami sangkakan kami berdepan hanya rangkaian Albania ini, ada juga warga negara Eritrea dan Syria yang turut terbabit,” katanya.

    Beliau menambah pengurus-pengurus hotel berkenaan menyedari hakikat itu, malah ada yang menjual pakaian pendatang berkenaan selepas mereka mengosongkan bilik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda