Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima perhatian utama sekitar EPL

    LONDON, 17 April – Manchester United menghidupkan semula persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan ke atas pendahulu Chelsea yang mula panas dengan penangan Tottenham sementara Liverpool dan Manchester City pula kekal di landasan tepat untuk selesai di empat tempat teratas. Berikut adalah lima perkara yang dapat kita perhatikan di sekitar liga elit Inggeris.

    Perkara utama yang menjadi tumpuan peminat ialah Jose Mourinho belum lagi hilang sentuhan. Ketika United mengalami musim tidak menentu, pandangan yang dikongsi bersama ialah pengurus dari Portugal itu kehilangan sentuhan ajaib yang pernah menjadikannya pengurus paling didambakan dalam dunia bola sepak. Kemenangan menakjubkan 2-0 ke atas Chelsea yang juga bekas kelabnya, menunjukkan laporan sentuhannya yang hilang telah diperbesar-besarkan.

    Mourinho melampiaskan taktikal ajaib di Old Trafford, menggerakkan Ander Herrera dan Matteo Darmian untuk mengawal Eden Hazard dan Pedro serta memilih Marcus Rashford sebagai penyerang tunggal untuk mengeksploitasi ruang di belakang pertahanan Chelsea itu.

    Rashford dan Herrera begitu cemerlang dengan menjaringkan awal pada setiap babak untuk merapatkan jurang Chelsea kepada hanya empat mata di depan Tottenham Hotspur.

    United juga berjaya merapatkan jurang kepada empat mata dengan City di tempat keempat ketika mereka ada temu janji satu perlawanan lagi dan akan melayan mereka di Stadium Etihad Khamis ini.

    Perkara kedua menjadi tumpuan pemerhati bola sepak ialah Harry Kane bukanlah pemain bermusim. Peminat Arsenal ragu-ragu apabila Kane memecah masuk ke dalam pasukan pertama Tottenham Hotspur musim 2014-15 dan mula mencetak gol. Kane mempunyai musim pinjaman berturut-turut yang tidak meyakinkan dan lebih perlahan berbanding momentum kebanyakan penyerang terkenal yang lain.

    Pengkritik memutuskan Kane adalah ‘penyengat semusim’. Tetapi setelah menjaringkan 31 gol semusim dengan 28 gol musim lalu, dia telah menambah gol kempen semasa kepada 25 termasuk dalam kemenangan 4-0 Spurs ke atas Bournemouth Sabtu lalu.

    Dengan berbuat demikian, beliau menjadi pemain Spurs pertama menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol liga dalam tiga musim berturut-turut sejak Jimmy Greaves pada 1960-an.

    Perkara ketiga adalah Vincent Kompany kembali ‘akrab’ dengan City. Prestasi menakjubkan pemain dari Belgium itu membuatkan Pep Guardiola pasti menangis jika pemain antarabangsa Belgium kekal cergas dan tidak terhad kepada hanya sembilan penampilan.

    Kompany menjaringkan gol sekembalinya dari kecederaan tetapi pengaruhnya menenangkan unit pertahanan City yang paling lemah musim ini merupakan petanda baik untuk selesai dalam kelompok empat teratas dan juga untuk menjulang Piala FA.

    Kompany juga aset penting City bagi mengekalkan rekod Guardiola terus memenangi trofi setiap musim bersama setiap kelab kendaliannya. Bagaimanapun kecederaan Kompany menjadi penghalang sehingga Guardiola perlu ‘menjaganya’ dengan baik untuk mengekalkan kecergasannya.

    Mignolet akhirnya muncul wira? Perhatian keempat dalam liga Inggeris ini mengingatkan kita sedikit masa dulu apabila peminat Liverpool bercakap tentang Simon Mignolet sama seperti bercakap mengimbau zaman legenda Anfield Ray Clemence dan Bruce Grobbelaar tetapi beransur hambar sehinggalah beliau melenyapkan kritikan dengan membantu Liverpool menang 1-0 di West Bromwich Albion pada Ahad.

    Kedudukan Mignolet nampak dalam bahaya apabila pengurus Reds Jurgen Klopp menandatangani Loris Karius tahun lepas. Tetapi Mignolet membangun semula sebagai orang No.1 Liverpool dan terbukti kebal dengan rembatan jarak dekat pemain West Brom Matt Phillips.

    Malah bekas pertahanan Liverpool Jamie Carragher, yang juga salah seorang pengkritik kuat Mignolet mengaku pemain Belgium itu berhak mendapat pujian kerana membantu pasukan Merseyside melonjak ke tangga ketiga dalam Liga Perdana Inggeris. “Adakah dia berhak mendapat pujian? Tidak syak lagi,” Carragher memberitahu Sky Sports.

    Perkara terakhir yang menjadi tumpuan pemerhati ialah pasukan Leicester City. Dengan pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid amat penting esok, The Foxes berada di landasan terbaik untuk membawa tonik ke Crystal Palace pada Sabtu.

    Malangnya kejatuhan babak kedua telah mendedahkan bahagian pertahanan Leicester yang rapuh, sekali gus boleh mengakhiri kembara mereka di pentas Eropah.

    Leicester ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama di Sepanyol dan peluang mereka untuk melanjutkan larian luar biasa ke separuh akhir bergantung kepada rencana pertahanan mereka di Stadium King Power.

    Dengan Robert Huth digantung untuk perlawanan semula dan Wes Morgan bergelut dengan kecederaan belakang sehingga memaksanya terlepas permainan Palace, jurulatih Leicester Craig Shakespeare perlu berwaspada dengan pasukannya yang rapuh pada bahagian belakang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda