Lima permainan termahal di dunia

Oleh Adiiwira

Menjalani kehidupan pada masa kecil merupakan pengalaman yang begitu indah.

Pada ketika itulah anda boleh bermain sepuas-puasnya secara sendirian atau bersama rakan-rakan. Apa tah lagi jika ketika itu anda dimanjakan oleh ibu bapa dengan membelikan banyak permainan.

Pasti anda ketika itu senyum lebar dan merasa gembira kerana memiliki permainan yang tidak kira berapa nilai harganya. Sehinggakan sesetengah orang masih menyimpan permainannya dulu menjadi sebagai kenangan dan dalam masa yang sama secara tidak langsung menjadikannya koleksi vintaj yang memiliki nilai yang tinggi.

Namun, pada ketika ini bukan hanya menyimpan permainan tersebut dari kecil, malah ada sesetengah orang dewasa yang membeli permainan sebagai hobi atau koleksi. Jika dilihat permainan yang dijual di kedai-kedai di negara ini, rata-rata nilai termahal dalam ratusan ringgit. Walau bagaimanapun, pernahkah para pembaca mengetahui terdapat permainan di dunia ini memiliki nilai setanding dengan sebuah kereta? Bukan itu saja nilainya juga ada yang setanding dengan sebuah rumah.

Dalam ruangan kali ini, penulis cuba mengongsikan lima permainan termahal di dunia:

L’Oiseleur dalam bahasa Perancis membawa maksud pelatih burung (bird trainer). – Agensi
Rumah permainan ini dikatakan dibuat dengan kualiti ukiran, artistik, teknik dan kreativiti terbaik. – Agensi
Pembuatan model kereta Lamborghini Aventador memerlukan masa 500 jam. – Agensi
Anak patung bernama Madam Alexander Eloise dibuat oleh seorang pereka anak patung bernama Madame Alexander. – Agensi
Beruang teddy yang diberi nama Steiif Louis Vuitton Teddy Bear merupakan salah satu anak patung termahal di dunia. – Agensi

Astolat Dollhouse Castle, AS$8.5 juta

Permainan pertama ini merupakan sebuah rumah mainan yang tercatat sebagai permainan paling mahal di dunia. Rumah permainan ini dikatakan dibuat dengan kualiti ukiran, artistik, teknik dan kreativiti terbaik yang dikhabarkan memerlukan 13 tahun untuk menyiapkannya.

Di dalam rumah permainan ini terdapat ruang gim. Kolam renang, 29 ruangan dan beberapa tingkat.

Selain itu juga, rumah permainan ini memiliki gudang senjata, dapur, ruang bawah tanah, ruang menari yang mewah malah memiliki bar yang dilengkapkan dengan miniatur botol-botol minuman secara terperinci.

Adakah anda sanggup mengorbankan jutaan ringgit untuk memiliki rumah permainan ini?

L’Oiseleur (The Bird Trainer), AS$6.25 juta

L’Oiseleur dalam bahasa Perancis membawa maksud pelatih burung (bird trainer) merupakan salah satu patung permainan termahal di dunia. Patung berketinggian 1.2 meter ini dibuat oleh pakar automaton Perancis, Christian Baily yang dikatakan memerlukan masa yang cukup lama iaitu 15 ribu jam untuk menyelesaikannya.

Patung ini diperbuat daripada 2.340 besi yang telah digilap dan berfungsi dengan bantuan roda gigi dan gerigi yang digerakkan dengan pegas bukannya menggunakan mesin atau bateri. L’Oiseleur ini juga diberikan pakaian yang dilapisi oleh mutiara dan emas.

Untuk menghidupkan patung ini memerlukan memutar kuncinya yang diperbuat daripada emas, lalu L’Oiseleur akan membawa seruling ke mulutnya dan memainkan lagu Marche des Rois karya Georges Bizet. Mata patung ini juga akan ber-gerak malah jari jemarinya memainkan seruling.

Di samping itu juga, burung-burung yang terdapat di patung ini juga akan bergerak seperti mengepakkan sayapnya dan memutar kepala. Patung ini memilik berat 55 kilogram.

Madam Alexander Eloise, AS$5 juta

Memiliki anak patung buatan tangan merupakan sesuatu yang menarik. Namun, jika anak patung tersebut mencecah harga jutaan ringgit yang setara dengan harga rumah, adakah para pembaca sanggup untuk memilikinya?

Jika dilihat pada fizikalnya, ia sama seperti anak-anak patung yang lain. Namun, apabila mengetahui tentang anak patung ini secara terperinci barulah kita mengetahui sebab ia bernilai. Anak patung ini dibuat oleh seorang pereka anak patung bernama Madame Alexander dan hanya dibuat sebanyak lima buah sahaja di dunia ini.

Edisi terhadnya menjadikan anak patung bernama Madam Alexander Eloise ini sebagai salah satu anak patung buatan tangan termahal di dunia kerana anak patung ini dilengkapi dengan pakaian rekaan Christian Dior yang lengkap dengan bulu buatan Oscar de la Renta serta aksesori dari Katherine Baumann.

Malah, anak patung ini juga dilengkapi dengan kristal Swarovski dan berlian seberat 9 karat.

Model kereta Lamborghini Aventador LP, AS$4.5 juta

Mungkin sesetengah orang ada yang mengimpikan memiliki kereta mewah suatu hari nanti. Namun untuk merea-lisasikannya agak sukar dan sebagai ganti cukuplah dengan memiliki model kereta tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak semua model kereta mampu kita miliki kerana terdapat model kereta yang bernilai jutaan ringgit. Seperti yang kita ketahui kereta jenis Lamborghini merupakan salah satu kereta mewah dan mahal. Apa yang mengejutkan lagi, model kereta Lamborghini ini mampu menandingi harga kereta sebenar.

Berdasarkan maklumat, model kereta ini merupakan model Lamborghini Aventador yang memiliki kos pembuatannya 12 kali ganda lebih mahal daripada kos pembuatan keretanya sebenar.

Model kereta ini dilapisi dengan emas, berlian dan platinum. Malah pembuatan model kereta ini memerlukan masa 500 jam. Kalau pembaca diberikan pilihan, mana yang akan pembaca pilih? Kereta sebenar atau modelnya sahaja?

Steiff Louis Vuitton Teddy Bear, AS$2.1 juta

Sesiapa saja di dunia ini pasti mengetahui beruang teddy yang merupakan salah satu karakter yang digemari ramai.

Tidak hanya dalam bentuk anak patung, beruang teddy juga dapat ditemukan dalam pelbagai bentuk seperti baju t-shirt, poster dan lain-lain.

Akan tetapi dalam ruangan ini penulis menumpukan pada anak patung beruang teddy yang tersenarai sebagai permainan termahal di dunia. Beruang teddy yang diberi nama Steiif Louis Vuitton Teddy Bear ini merupakan ciptaan Richard Steiff berasal dari Jerman yang berkolaborasi dengan satu jenama fesyen terkenal Louis Vuitton.

Anak patung beruang ini dikeluarkan pada tahun 2000 dan bukan hanya menggayakan fesyen pakaian melancong rekaan Louis Vuitton berserta begnya, patung ini menjadi mahal kerana bulunya dibuat daripada emas asli, safir dan berlian sebagai matanya.

Pada tahun 2000 dalam lelongan di Monaco, patung ini berjaya dibeli oleh warga Korea Selatan bernama Jessie Kim dan sekarang ia disimpan di Muzium Teddy Bear di Jeju, Korea Selatan.