Lima produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa lima produk kosmetik telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan dan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Produk-produk kosmetik berkenaan adalah SSII Day Cream dan SSII Herbal Cream yang dicemari dengan bahan merkuri dan SSII Treatment Cream yang dicemari dengan Tretinoin.

Dua lagi produk tersebut ialah Skin Magical Kadenang Ginto Rejuvenating Facial Toner No 1 dan Skin Magical Kadenang Ginto Rejuvenating Cream No 1 yang kedua-duanya dikilangkan di Filipina, di mana Skin Magical Kadenang Ginto Rejuvenating Facial Toner No 1 telah didapati dicemari dengan Tretinoin dan Hydroquinone, sementara Skin Magical Kadenang Ginto Rejuvenating Cream No.1 pula dicemari dengan Hydroquinone.

Merkuri merupakan bahan yang dilarang penggunaannya dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007 kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna; yang boleh menggangu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Hydroquinone pula merupakan bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit.

Sementara itu Tretinoin pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit. Penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta.

Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.