Lima sarapan teraneh di dunia

Oleh Adiiwira

Dalam kehidupan seharian kita, pengambilan sarapan merupakan sesuatu yang penting selepas bangun tidur dan mandi pagi.

Ini kerana, dengan bersarapan kita akan dapat mengembalikan tenaga setelah tidur malam yang panjang dan menyebabkan perut menjadi kosong.

Di samping itu juga, pelbagai manfaat lain boleh diperolehi dengan bersarapan seperti membantu melindungi tubuh dari penyakit, lebih fokus, mengurangkan berat badan dan sebagainya.

Waktu yang paling sesuai untuk bersarapan adalah sekitar 8 pagi atau dalam masa 30 minit sehingga 1 jam selepas bangun dari tidur. Makanan yang elok dijadikan sarapan adalah makanan yang tinggi kandungan karbohidrat kompleks seperti kekacang, oat, bijiran gandum, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya pada ketika ini kebanyakan masyarakat makan jenis makanan yang salah pada waktu sarapan seperti roti canai, mi goreng, nasi lemak dan sebagainya yang setentunya makanan yang berlemak dan berminyak. Penulis sendiri tidak terkecuali pernah melakukan pemakanan sarapan yang tidak sihat ini.

Haejang-Guk makanan kegemaran orang-orang Korea. – Agensi
Akutaq merupakan salah satu makanan sarapan di Alaska. – Agensi
Huitlacoche dijadikan isi tamale dan taco atau sebagai bahan campuran membuat omelette. – Agensi
Leche De Tigre sejenis minuman yang terkenal di Peru. – Agensi
Natto dikatakan memiliki gizi yang tinggi. – Agensi

Namun, adakah anda pernah memakan sesuatu yang aneh ketika waktu sarapan? Sejujurnya penulis belum pernah melakukan perkara sebegitu kerana tanpa disuruh atau kemahuan sendiri, setentunya fikiran dan hati penulis akan menolak dan mengatakan tidak untuk memakannya.

Namun di negara kita belum ada restoran atau di mana-mana saja yang menyajikan sarapan aneh. Tetapi ia sesuatu yang tidak mustahil di luar negara.

Dalam ruangan kali ini, dikongsikan dengan pembaca lima sarapan teraneh di dunia. Adakah pembaca sanggup memakannya jika disajikan di depan mata?

Haejang-Guk, Korea Selatan

Apabila kita mendengar Korea Selatan, ada sesetengah orang akan secara automatik terfikir dengan k-pop dan drama-drama Korea yang menjadi kegilaan golongan remaja ketika ini.

Namun, di samping terkenal dengan budaya, hiburan dan tempat-tempat tarikan di Korea Selatan, ne-gara ini juga memiliki makanan sarapan teraneh.

Pada kebiasaannya, peminat-peminat tegar terhadap negara ini akan mengenali beberapa makanan seperti taebokki dan kimbap. Tetapi adakah anda pernah mendengar makanan sarapan Korea Selatan, Haejang-Guk?

Kalau dilihat pada visual, sememangnya memang menyelerakan. Akan tetapi, Haejang-Guk ini merupakan rebusan tulang sapi, sayur kubis, pasta kacang soya dan menjadikannya sarapan teraneh di dunia adalah penggunaan darah sapi yang dikentalkan. Makanan ini menjadi salah satu makanan kegemaran orang-orang Korea. Berdasarkan maklumat, makanan ini boleh memulihkan tenaga setelah letih melakukan aktiviti.

Akutaq, Alaska

Kalau dilihat dari segi penampilannya makanan ini seperti ais krim berperisa stroberi yang enak dimakan pada waktu cuaca panas.

Tapi pembaca jangan mudah tertipu jika dihidangkan makanan ini jika anda pergi ke Alaska.

Ini kerana makanan ini sebenarnya bukanlah sejenis ais krim. Makanan ini diperbuat daripada campuran susu, lemak haiwan, minyak anjing laut dengan salji segar yang baharu turun dari langit dan dicampur dengan aneka jenis buah beri serta ikan.

Sejajarlah dengan namanya akutaq yang bermaksud ‘sesuatu yang dicampur.’ Justeru, para pembaca perlu berjaga-jaga dari termakan makanan aneh ini.

Huitlacoche, Mexico

Jagung bakar atau jagung rebus memang enak dimakan. Namun, bagaimana pula rasanya jika makan jagung yang telah rosak dan membusuk? Setentunya kita akan mengatakannya meloyakan dan kita secara automatik menolak untuk memakananya.

Namun berbeza pula di Mexico, jagung yang sudah rosak dan membusuk serta ditumbuhi kulat akibat gagal ketika menuai menjadi pilihan masyarakat di negara itu. Jagung yang ditumbuhi kulat ini berwarna kehitaman dan masyarakat Mexico mengolahkannya sebagai isi tamale dan taco atau sebagai bahan campuran membuat omelette sebagai makanan sarapan.

Daripada maklumat yang diperolehi, walaupun jagung ini ditumbuhi kulat dan warnanya berubah, rasa jagung itu sama seperti kulat dan tetap enak untuk dimakan. Kalau penulis disuruh untuk makan jagung tersebut, mungkin terpaksa menolak dengan baik.

Natto, Jepun

Dalam entri seterusnya ini, negara matahari terbit, Jepun turut mempunyai sarapan pagi aneh. Sebut saja Jepun banyak yang mudah membayangkan sebuah negara yang maju dengan teknologi, pengeluar dan pengeksport kereta terbesar di dunia, kartun anime dan makanannya seperti susyi, ramen dan sebagainya.

Namun Jepun juga tidak terkecuali memiliki makanan sarapan teraneh di dunia. Makanan tradisional Jepun ini diberi nama Natto yang bahannya diperbuat daripada kacang soya. Namun, apa yang membuatkannya menjadi makanan sarapan teraneh di dunia?

Natto ini menjadi makanan sarapan teraneh kerana ia diperbuat dengan proses pemeraman atau penapaian dan makanan ini terkenal di daerah Kanto timur. Walau bagaimanapun, meskipun ia merupakan makanan berasaskan kekacang, namun tidak ramai yang mahu merasakan Natto ini, lebih-lebih lagi warga luar negara. Ini kerana Natto ini memiliki bau yang sangat kuat dan memiliki tekstur yang melekit dan berlendir yang boleh mematahkan selera bagi yang baharu mengenalinya. Ada yang mengatakan baunya se-perti bau stoking.

Meskipun ia memiliki bau yang sangat kuat, Natto memiliki nilai gizi yang tinggi. Natto biasanya dimakan dengan nasi yang panas bercampur dengan kicap.

Di Hokkaido dan Tohoku utara, natto disajikan dengan gula dan ia juga digunakan untuk makanan lain seperti susyi natto, roti bakar natto, dalam sup miso, salad, okonomiyaki, bersama spaghetti atau digoreng.

Natto yang dikeringkan dapat dimakan sebagai makanan ringan malah terdapat juga aiskrim natto. Jika pembaca ke negara Jepun, ingin atau berani mencubanya? Namun nasihat penulis pastikan dahulu ia halal dan sememangnya boleh dimakan.

Leche De Tigre, Peru

Setiap pagi, pembaca akan minum minuman apa ketika sarapan? Teh? Kopi? Air kosong? Atau Jus? Kalau penulis sendiri minum dua jenis minuman iaitu air kosong dan teh panas. Namun, kalau kita berada di Peru, kita akan menjumpai sejenis minuman yang dipanggil Leche De Tigre.

Dari segi nama nampak menarik, minuman serupa jus ini bukanlah terbuat daripada buah-buahan tetapi jus ini diperbuat daripada ikan mentah dan bahan makanan laut lain yang dihaluskan dan dicampur dengan lemon, garam, lada dan bawang.

Sesetengah tempat akan menambah potongan ikan. Minuman ini dikatakan boleh memulihkan keadaan tubuh jika diambil ketika sarapan.