Lima tahun menderita radang tonsil, Cita Citata alami penyakit kulit

Penyanyi Indonesia Cita Citata berkongsi pengalamannya menghidap penyakit radang tonsil sejak lima tahun lepas.

Cita atau nama sebenar Cita Rahayu, 26, menerusi perkongsian di Instagram pada Rabu berkata dia mula mengalami alahan pada kulit muka yang menyebabkan kemerah-merahan dan lebam yang teruk.

“Hai semua. Saya ingin berkongsi pengalaman saya melawan penyakit yang saya hadapi sejak lima tahun lepas.

“Simptom yang mula menyerang kulit saya… hampir setiap hari kulit saya selalu merah-merah dan lebam bukan main.

“Setiap kali kena benda yang tajam sikit, perubahan udara sejuk atau panas terus jadi merah-merah… kena debu dan kotoran pun macam tu juga. Ia sangat mengganggu,” tulisnya.

Cita Citata berkongsi gambar dan rakaman video sebelum menjalani pembedahan. – Agensi

Penyanyi lagu Perawan Atau Janda ini turut berkata dia sudah melakukan bermacam cara untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi namun tidak berhasil.

Selepas mendapatkan nasihat pakar perubatan, Cita berkata sistem pertahanan badannya sudah terganggu menyebabkan dia merasa seperti terkena alahan.

“Macam-macam cara saya lakukan… dari pemeriksaan alahan sampai cari doktor dan pakar terbaik, suntik sel stem, makan ubat dan vitamin tapi tak pernah berhasil.

“Beberapa orang pakar pun cakap sistem imunisasi saya yang terganggu dan saya selalu fikir saya baik-baik saja, tak pernah ada sakit, lelah atau senang penat,” jelasnya.

Tambahnya, dia hanya mengetahui penyakit yang dihidapi selepas melakukan pemeriksaan kesihatan kerana mengalami demam panas pada Ogos lalu.

Doktor mengesahkan bahawa penyanyi itu menghidap radang tonsil di mana keadaan organ tersebut sudah rosak dan berlubang besar dan disarankan untuk melakukan pembedahan. – Agensi