Lima tempat paling seram di dunia

Oleh Adiiwira

Di dalam dunia ini tidak semua orang mempercayai kewujudan makhluk halus. Ada yang berpendapat ia hanyalah perasaan takut yang diwujudkan semata-mata dan memikirkan kewujudannya untuk menakutkan manusia.

Namun, kewujudan makhluk halus ini sememangnya ada. Hal tersebut kerana di dunia ini Allah tidak hanya menciptakan manusia, binatang dan alam semesta, tetapi ia juga menciptakan makhluk halus. Penulis sendiri berulang kali melihat kewujudan makhluk halus secara tidak sengaja. Ada yang melintas di hadapan penulis dan ada yang memperlihatkan fizikal yang berkemungkinan cuba menakutkan penulis.

Pada kebiasaannya makhluk halus ini dikatakan tinggal di kawasan-kawasan hutan, rumah atau bangunan terbiar, pokok-pokok besar dan sebagainya. Dalam masa yang sama, terdapat tempat-tempat yang menyeramkan ini menjadi ‘berpenghuni’ akibat daripada peristiwa-peristiwa yang pernah terjadi seperti pembunuhan, insiden berdarah dan sebagainya.

Di negara kita sendiri, terdapat beberapa tempat menyeramkan yang diketahui oleh penulis dan mungkin ada sesetengah pembaca mengetahuinya. Namun jika penulis menjadikannya sebagai bahan penulisan dikhuatiri terdapat pertelingkahan daripada kalangan pembaca dan sebenarnya penulis ingin menjaga sensitiviti.

Seperti mana yang penulis ketahui, terdapat penggiat paranormal menjalankan aktiviti penjejakan untuk mencari dan membuktikan kewujudan makhluk halus. Di negara kita sendiri terdapat beberapa aktivis yang menjalankan kegiatan ini bagi merungkai tempat-tempat misteri di negara ini. Namun, menurut penulis aktiviti sebegitu perlu dielakkan demi menjaga keselamatan dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Dalam ruangan kali ini, penulis ingin mengongsikan lima tempat terseram di dunia setakat ini mengikut hasil yang dikumpulkan oleh penulis.

Suicide Forest, Jepun.
Pulau anak patung, Mexico.
Hotel Stanley, Colorado.
Kubur bawah tanah Capuchins, Itali.

1- Suicide Forest, Jepun

Suicide Forest atau dikenali sebagai hutan Aokigahara merupakan salah satu tempat yang menyeramkan di dunia. Hutan in terletak di bahagian barat laut Gunung Fuji, sekitar 100 kilometer sebelah barat Tokyo, Jepun. Dengan keluasan 30 kilometer persegi, hutan tersebut cukup subur akibat curahan lahar yang berasal dari Gunung Fuji ketika gunung tersebut meletus tahun 864. Dikaitkan dengan syaitan dalam mitos Jepun, kesuburan hutan itu telah menghalang angin daripada masuk. Ini menyebabkan tempat ini menjadi sangat sunyi dan menyeramkan.

Terdapat banyak papan tanda yang meminta mereka untuk memikirkan tindakan mereka di pintu masuk hutan tersebut. Di kenali sebagai Suicide Forest kerana kawasan ini dijadikan tempat orang membunuh diri, dan lebih kurang 100 kejadian bunuh diri dilaporkan berlaku di sini setiap tahun.

2- Pulau anak patung, Mexico

Isla de las Munecas atau dikenali sebagai Pulau Anak Patung di Xochimilco merupakan sebuah pulau yang menyimpan 1,001 misteri menyeramkan dan terletak 17 kilometer dari Bandar Mexico.

Berdasarkan penceritaan orang ramai, terdapat satu kisah tragis yang berlaku di kawasan pulau tersebut di mana seorang kanak-kanak perempuan dikatakan meninggal dunia di terusan pulau berkenaan yang dipercayai mati lemas. Susulan insiden itu, seorang lelaki warga tempatan bernama Don Julian Santana Barrera telah menemui satu anak patung terapung di tepi terusan tidak jauh dari mayat kanak-kanak malang itu.

Sejak peristiwa itu, Barrera mendakwa dia sering diganggu oleh suara jeritan dan bayangan kanak-kanak itu. Oleh kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut, dia kemudiannya mengambil keputusan menggantung anak patung tersebut di dahan pokok bagi menghormati semangat kanak-kanak itu. Sehingga kini, beratus anak patung yang mengerikan dan tidak berkepala memenuhi pulau tersebut.

3- Hotel Stanley, Colorado

Jika pembaca pernah membaca novel karya Stephen King The Shining yang diadaptasi menjadi sebuah filem, hotel Stanley ini merupakan sumber inspirasi kepada Stephen King untuk melahirkan karya tersebut. Hotel ini dibuka pada tahun 1909 dan sudah ramai tokoh ternama tinggal di hotel ini. Stephen pernah dikatakan tinggal di hotel yang paling berhantu di dunia ini di bilik 217. Namun sering dilaporkan terjadinya aktiviti paranormal di bilik 418.

Beberapa tamu melaporkan melihat piano di ruang menari hotel sering bergerak sendiri di tengah malam. Ada yang mengatakan hotel itu dihantui oleh Flora Stanley, isteri kepada pemilik hotel tersebut, yang dikatakan semasa hidupnya dia suka menghibur tetamunya dengan memainkan piano. Selain itu ada juga yang pernah melihat jelmaan Stanley yang berkeliaran di lobi dan ruang biliar pada malam hari.

4- Kubur bawah tanah Capuchins, Itali

Kubur bawah tanah yang telah diwujudkan pada abad ke-16 ini terletak di pinggir bandar yang dipenuhi dengan mumia yang dianggarkan seramai 1,200 mumia. Tubuh mumia ini disusun rapi di tepi dinding-dinding serta siling dan ada juga disimpan dalam peti keranda dan almari kaca seperti pameran

muzium. Mereka dipakaikan pakaian dan disusun dalam posisi seolah-olah masih hidup.

5- Makam Sedlec, Republik Czech

Makam Sedlec ini adalah sebuah gereja kecil Roman Katolik yang di bawahnya merupakan tanah perkuburan All Saints. Makam ini terletak di tengah-tengah Republik Czech yang mengandungi tulang rangka lebih 70,000 ribu orang.

Dibina sejak tahun 1142, gereja ini menggunakan tulang manusia sebagai hiasan dalamannya dan perabot di gereja tersebut. Penggunaan tulang tersebut adalah sebagai pengingat bahawa semua orang akan meninggal sehinggakan gereja ini dikenali sebagai Gereja Tulang.